Rabu, 7 September 2011

PRU akan datang, Kedah milik siapa ?

Ketika berkunjung ke rumah sanak saudara, ipar duai dan besan di Perak sempena idilfitri baru-baru ini saya ditanya sama ada parti Pas yang memerintah Kedah sekarang mampu `meneruskan' kuasa pemerintahan itu selepas pilihan raya umum akan datang ini?

Jawapan saya kepada pertanyaan itu ialah antara lainnya bergantung kepada faktor isu berbangkit dan pendekatan pucuk pimpinan parti itu sendiri di peringkat negeri.

Pada pemerhatian saya, isu dan pendekatan atau gaya kepimpinan Menteri besar sendiri memainkan peranan penting . Isu yang meresahkan rakyat dan pendekatan yang membosankan rakyat adalah satu-satunya yang mempengaruhi kedudukan pengaruh kerajaan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat.

Dalam konteks negeri Kedah sejauh pemerhatian saya sejak memegang tampuk pemerintahan negeri selepas PRU 2008 hingga sekarang tidak banyak berlakunya pendekatan dan tindakan yang boleh membangkitkan isu-isu benar yang boleh memberi kesan buruk kepada pemerintahannya.

Dalam hal ini saya nampak MB Kedah , Us. Azizan Abd. Razak pandai membaca hati budi rakyat Kedah yang majoiritinya orang Melayu yang masih `berpegang kuat ' dengan budaya Melayunya yang tidak suka kepada pendekatan `kasar' .

Tak tahulah saya sama ada pendekatan ini akan diteruskan atau tidak. Namun jika Us Azizan yang menjadi Menteri Besar `diturunkan' pangkatnya atau dipecat oleh pucuk pimpinan Pas pusat dan digantikan dengan orang lain yang mungkin pendekatannya serta juga gaya pentadbirannya berubah maka senario ini saya percaya akan berubah dan merupakan satu `advantage' kepada pesaingnya.

Di negeri Kedah sejauh pemerhatian saya jika pendekatan dan gaya kepimpinan terarah kepada kepentingan diri dan keluarga atau kroni yang ketara , kasar , angkuh serta mengenepikan budaya menghormati pihak lain, termasuk lawan; maka kuasa itu tidak lama. Tak kiralah parti apa sekalipun. 

Isu-isu besar yang membabitkan politik , agama, ekonomi dan sosial seperti isu tanah, perumahan, balak, dan sebagainya saya tidak nampak ia berlaku secara nyata dan meluas yang menjadi perbincangan umum , cuma isu tanah UUM yang mungkin sekarang sudah diselesaikan kerana tidak kedengaran lagi.

Tak tahulah kalau ada isu-isu lain yang pihak lawannya boleh memanipulasikan isu-isu terbut. 
Baru-baru ini parti Gerakan negeri Kedah misalnya cuba membangkitkan isu keperluan pengwujudan jawatan Timbalan Menteri Besar di negeri Kedah.

Namun pengenahan isu itu kelihatan satu tindakan yang `makan diri sendiri' apabila parti Gerakan tidak mampu berbuat apa-apa di negeri Pulau Pinang yang kini dikuasai DAP. Sedangkan beberapa dekad sebelumnya dikuasai parti Gerakan. Malah parti  Gerakan dilhat layu terkulai.

Bagi orang Kedah kalau di negeri di mana ia pernah memegang kuasa agak lama tidak mampu berbuat sesuatu tak payahlah nak kacau negeri lain. .

Mungkin BN atau UMNO sendiri mempunyai idea besar dan strategi mampan tak tahulah pula ; bagaimanapun siapa yang memegang kuasa pemerintahan jika tahu menghargai budi majoriti rakyat dan pengundi insya Allah kemenangan akan berpihak kepadanya. Wallahu a'lam.


Tiada ulasan: