Khamis, 20 Oktober 2011

Jangan ghairah sangat dengan slogan `calon boleh menang'

Sudah pasti pilihan raya umum (PRU) ke13 akan berlaku tidak lama lagi. Bagi rakyat biasa ia tidak menjadi masalah besar, berlaku bila-bila pun tiada mengapa tetapi bagi orang politik ia tentulah satu masalah besar. Ini kerana ia melibatkan periuk nasi dan masa depan kerjaya.

Bagaimana pun rakyat jelata yang menjadi pengundi adalah satu-satunya elemen penting yang mesti diambil kira. Tanpa sokongan jitu pengundi sesuatu parti itu, sama ada yang menjadi kerajaan atau pembangkang pasti akan tumbang di gelanggang dan hilang kuasa. Justeru pelbagai taktik dan langkah perlu dibuat untuk memenangi hati rakyat.

Bagi parti yang menguasai kerajaan pusat seperti Barisan Nasional (BN) ruang untuk tujuan itu sangat luas. Antaranya mungkin melalui strategi program dan dasar negara , termasuklah strategi belanjawan negara.

Jadi,tidak hairanlah jika baru-baru ini BN mengumumkan banyak dasar mengenai kewangan yang dianggap `melegakan' hati rakyat menerusi pembentangan belanjawan negara 2012 di Dewan Rakyat minggu sudah.

Bahkan hati kaki tanganya yang berjumlah lebih satu juta dan pesaranya yang lebih setengah juta itu juga diusap melalui perlimpahan dengan pelbagai `ganjaran' yang tidak perlu disebutkan secara satu persatu kerana telah diumumkan dan disebarkan. Hendaknya ianya disyukuri. 

Namun, dari segi politik juga diumumkan pemimpin BN tidak lama sebelum ini . Antara lainnya ialah meletakkan `calon boleh menang' sebagai pra syarat bagi memilih seseorang calon dari parti komponennya.

Berikutan itu, mutakahir ini terdapat laporan-laporan media mengenai sesetengah pemimpin BN di peringkat pusat dan negeri yang menyarankan beberapa pandangan dan langkah yang harus dilakukan.

Bagi pemimpin BN Negeri Sembilan pula dilaporkan menawarkan Presiden MCA untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen di negeri itu kerana beliau dilihat sebagai `calon boleh menang'.

Tidak mengapa, namun ketika ghairah mencari `calon boleh menang' ini saya kira ada satu lagi faktor yang perlu juga diambil kira iaitu `kawasan boleh menang'. Maknanya dalam politik dan pola pengundian pilihan raya di Malaysia ini  `kawasan boleh menang' juga kena diambil peduli.

Ini kerana bagi kawasan yang berkategori ` kawasan boleh menang' meletak calon macam mana pun boleh menang, sebaliknya bagi `kawasan yang tak boleh menang' letak calon terbaik sekalipun boleh kalah. Tun Dr. Mahathir sendiri misalnya pernah kalah di kawasan Parlimen Kota Setar Selatan (Kedah) pada salah satu PRU tahun 1960-an. Ini kerana kawasan itu adalah `kawasan tak boleh menang' walaupun Dr. M adalah `calon boleh menang' Dan banyak lagi.

Oleh itu jangan ghairah sangat dengan slogan `calon boleh menang' tapi mengabaikan `kawasan boleh menang' kerana kedua-dua faktor tersebut sangat penting serta saling berkait antara satu sama lain dalam arena politik dan pola pengundian di negara ini.

Tiada ulasan: