Sabtu, 31 Disember 2011

Selamat sambut tahun baru dengan acuan kita

Selamat sambut tahun baru 2012 esok. Doa penulis agar semua pengunjung halaman blog ini khasnya akan terus diberikan taufik dan hidayah oleh Allah Subhanahu wa Taala, Tuhan Yang Maha Esa . Tiada Tuhan lain, selain daripada-Nya. Kepada Nya kita sembah dan daripada Nya kita mohon pertolongan.

Hanya dengan pertolongan Allah , taufiq dan hidayah Nya sahaja kita, manusia dan hamba yang serba lemah dan kekurangan ini dapat mengendalikan kehidupan di dunia ini dengan aman serta jayanya di dunia dan di akhirat. Jika sebaliknya sudah pastilah akan tunggang langganglah segala-galanya.

Seperti diajarkan untuk mendapat taufiq dan hidayah Allah itu kita antara lainnya mestilah sentiasa berusaha mendapat keredhaan Nya iaitu dengan cara mentaati akan segala perintahnya dan menjauhkan segala larangannya . Ia sama ada perlakuan, tingkah laku, tutur kata, cara berfikir, dan niat hati . Di samping itu hendaklah sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Nya dari semasa ke semasa.

Oleh itu, ketika teruja dengan `sambutan tahun baru' ini, ingatlah dalam apa jua keadaan kita (orang yang beriman) kepada Allah dan Rasul Nya ada acuan dan batasan yang sendiri untuk kita lakukan . Jadi kita kenalah ikut acuan kita dengan bertunjangkan kepada batasan hukum serta peraturan agama kerdhaan Allah -Islam. Bukan acuan orang lain . Wallahu alam.

Syabas KWSP dan Tabung Haji

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (TH) dilaporkan mengambil anisiatif menjalin kerjasama bagi memudahkan umat Islam di negara ini membuat pendaftaran menunaikan haji mulai awal tahun depan.

Sebelum ini urusan terebut hanya terdapat di TH sahaja. Alhamdulillah dengan hidayah serta taufiq Allah Subhanahu wa Taala pintu kemudahan semakin banyak terbuka . Justeru bagi umat Islam yang ada keinginan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu ambillah peluang menerusi kemudahan yang disediakan ini . 

Berita selanjutnya seperti petikan laporan berita di bawah :


Tunai haji melalui caruman KWSP


KUALA LUMPUR 30 Dis. - Bermula 3 Januari ini, semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam yang mempunyai simpanan minimum RM1,300 di dalam Akaun 1 boleh membuat pendaftaran menunaikan haji dengan Lembaga Tabung Haji.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, pendaftaran itu boleh dilakukan di semua kaunter Tabung Haji, cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa MyKad dan penyata terkini KWSP masing-masing.

“Mereka yang layak mesti warganegara Malaysia atau pemastautin tetap yang belum mencapai usia 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan Tabung Haji. Ahli yang tidak mempunyai akaun, mereka boleh membukanya dengan deposit minimum RM2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mana-mana ahli yang telah mendaftaran haji di bawah prosedur Tabung Haji boleh menukar pendaftaran tersebut kepada Pendaftaran Haji Ahli KWSP.

“Penukaran itu tidak melibatkan tarikh giliran haji yang telah diberikan dan tidak melibatkan sebarang urusan berkaitan tarikh kerana ia akan ditentukan oleh Tabung Haji,” tegasnya.

Maklumat lanjut boleh layari www.kwsp.gov.my atau www.tabunghaji.gov.my dan menghubungi talian 03-89226000 serta 03-62071919.  Utusan 

Selasa, 27 Disember 2011

Perkasakan fungsi lembaga penapis filem

Baru-baru ini dilaporkan kementerian dalam negeri (KDN) memutuskan tidak akan menapis lagi segala filem yang ditayangkan baik di panggung wayang mahu pun di kaca tv seperti mana dilakukan sebelum ini. Tanggungjawab dan tugas yang diberikan kepada lembaga penapisan filem itu tidak laku lagi !

Sebaliknya tanggungjawab dan tugas tersebut difahamkan akan diserahkan kepada pihak penerbit dan pengarah. Mereka diminta mengambil tanggungjawab sepenuhnya. Persoalan yang bangkit di kepala orang ramai ialah sejauh manakah tanggung jawab dan tugas itu akan dapat dipenuhi ?

Kedua-dua pihak tersebut masing-masing makan gaji dan berniaga. mana ada orang perniagaan tidak mahu untung ? Pasti nak untung. Untung bermakna perolehan melebih modal yang dilaburkan. Dalam konteks ini filem yang dibuat mestilah laris. Untuk melariskan filem tentulah kena muatkan adegan yang menjadi tarikan lebih. Termasuk adegan `luar biasa' . Adegan yang `luar biasa' biasanya ialah adegan yang mencarik adat budaya dan melanggar nilai agama . Ia dianggap ramuan yang sangat penting sebagai pelaris industri filem.  orang. Oleh itu pemindahan `kuasa' itu dilihat tidak praktikal dan relevan.

Bahkan secara tersiratnya pemindahan kuasa itu akan jatuh kepada setiap ibu bapa yang mempunyai akan-anak di peringkat kanak-kanak dan remaja. Persoalannya mampukah ibu bapa untuk memikul beban yang sangat berat selain beban lain selainnya ? Mampukah ibu bapa mengawal, mendidik dan seumpamanya  anak-anak mereka saban hari ? Mampukah setiap ibu bapa `bersila' besama anak-anak mereka untuk sama-sama menonton filem di tv, jika tidakpun di panggung wayang ? Lebih jauh lagi mampukah ibu bapa melarang anak-anak mereka menonton tayangan filem di tv yang tidak ditapis itu ?

Seperti maklum setakat ini dalam keadaan di mana dikatakan filem ditapis pun ada banyak ketirisan babak `luar biasa' seperti keganasan, tidak bermoral dan sebagainya berlaku. Inikan pula jika tidak ditapis dan dipantau.

Oleh itu, rasanya lebih baik jika peranan dan skop tanggungjawab dan tugas penapisan filem yang ada di lembaga penapisan filem itu dipertingkatkan atau diperkasakan . Tak mengapalah nak wujudkan masyarakat liberal pun tapi kenalah pada-pada juga kerana kita di Malaysia ini kebanyakannya masyarakat Islam dan mengamalkan budaya Timur dan Melayu. Rasanya dengan kebijaksanaan yang ada cara lain adalah lebih baik daripada cara `lepas tangan' . Walahu alam.

Selasa, 20 Disember 2011

Penggunaan dakwat kekal: Fatwa diperlukan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum (PRU) akan datang ini seperti dilaporkan akhbar-akhbar hari ini.

Menurut laporan, dakwat kekal yang akan digunakan itu boleh tahan antara tiga hingga tujuh hari di kuku dan kulit (pengundi). Tiga hari untuk pemilih biasa dan tujuh hari untuk pemilih awal.

Pelaksanaan kaedah ini difahamkan adalah berasaskan kepada cadangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang baru ditubuhkan baru-baru ini.

Persoalannya adalah dari segi implikasinya kepada pemilih-pemilih yang beragama Islam yang boleh dikatakan keseluruhannya di negara ini berpegang kepada mazhab Syafeii.

Ada dua perkara utama dalam isu ini saya kira. Pertama berkaitan dengan halal haramnya dan kedua sah atau tidaknya wuduk atau angkat hadas besar (mandi junub), haid dan lain-lain seumpama.

Tempoh tiga hingga tujuh itu adalah sanngat lama. Sekiranya ianya telah digunakan di negara Islam lain sekalipun belum tentu ianya boleh digunakan oleh umat Islam di negara ini kerana perbezaan petua dalam fiq mengikut mazhab. Misalnya dalam bab wuduk ada negara Islam lain yang sentuhan kulit lelaki/wanita tidak batal wuduk dan sebagainya tapi di negara kita berbeza amalannya .

Jadi jika sekadar mengambil kira pengamalan di negara Islam lain sahaja , saya kira itu belum memadai.Justeru ianya harus mendapat fatwa dari pihak berkuasa agama (Islam) terlebih dahulu sebelum keputusan muktamad diambil.

Keraguan mungkin timbul di kalangan pemlih Islam di negara ini berhubung dengan isu ini. Dan mungkin ada lagi perkara-perakara lain yang ada implikasi hukum syarak kepada umat Islam.

Demi mengelakkan daripada timbulnya segala macam keraguan dan mungkin boleh menjadi isu politik yang besar elok sangatlah pihak berkuasa agama memberi perhatian serta mengambil tindakan segera , malahan langkah itu adalah sangat-sangat diharapkan . 

Isnin, 19 Disember 2011

Isu SBPA perlu ditangani dengan lebih berhemah

Isu Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) antara Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS ) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendaklah ditangani segera dan dengan lebih berhemah; bukan dengan cara nak tunjuk iapa yang ada kuasa.

Isu itu sangat sensitif sama sensitifnya dengan isu kaum dan agama di negara ini. Silap-silap langkah cara mendepaninya akan membawa padah kepada kerajaan BN. Apatah lagi dekat dengan pilihan raya umum seperti ketika ini. PRU didesas-desuskan akan berlaku pada wala tahun depan.

PM kenalah dengar juga cakap CUEPACS kerana mereka mewakili 1.4 juta orang ahli yang terdiri dari pegawai kerajaan. Benar, bukan semua mereka akan turun membuang undi. Tapi pengaruh mereka juga tidak boleh diperlekehkan begitu sahaja kerana mereka adalah `jentera kerajaan.

Menurut CUEPACS , mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai SBPA ini secara keseluruhannya atau tiada perbincangan langsung, khususnya mengenai beberapa opsyen di dalamya. Justeru mereka meminta tempoh tarikh membuat pilihan dilanjutkan, namun JPA nampaknya bertegas untuk tidak melanjutkan tempoh tersebut yang ditetapkan pada 31 Disember ini untuk kakitangan kerajaan menyerahkan borang-borang mereka. 

Sikap itu sesungguhnya JPA tidak wajar bersikap demikian. Kerana ini soal periuk nasi. Lebih-lebih lagi bagi golongan di peringkat sederhana dan bawah . Selain itu kesan dari sikap atau cara pendekatan seperti itu akan memberi kesan buruk kepada kedudukan kerajaan BN pimpinan DS Najib sekarang .

Kenalah sama-sama faham PRU sudah dekat. Niat PM Najib mengumumkan skim itu pada belanjawan lalu pun mungkin ada strategi politiknya menjelang PRU 13 ini, yakni untuk `mengambil hati' kakitangan kerajaan juga seperti kelompok lain rakyat Malaysia yang mana diumumkan pelbagai insentif. Jadi biarlah hati semua pihak dijaga dengan sebaik mungkin.

Apapun rakyat akan tunggu hasil pertemuan antara CUEPACS dengan PM yang dijadualkan pada Jumaat ini. 

Jumaat, 9 Disember 2011

Jangan kucar kacirkan sektor awam dengan membawa masuk `orang luar'

Isu terbaru membabitkan sektor awam ialah mengenai percubaan memasukkan `orang luar' memegang jawatan Ketua Setia Usaha (KSU) di kementerian-kementerian dan juga berkemungkinan jawatan Ketua Setia Usaha Negara (KSN). 

Sehingga kini jawatan-jawatan tersebut didapati hanya disandang oleh pegawai kerajaan dari kumpulan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sahaja, yang sebelumnya dikenali sebagai Malaya Sivil Service (MSC).

Difahamkan untuk memperoleh jawatan PTD bukan satu perkara mudah kerana ia terpaksa melalui beberapa saringan serta tapisan ketat, termasuk ketajaman IQ dan sebagainya.

`Kod' pengenalan jawatan ini digunakan huruf M. Bermula dengan M41 hinggalah ke peringkat JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) dan seterusnya peringkat TURUS.

Lazimnya mereka yang berada di peringkat JUSA atau TURUS ini, baik dari kumpulan perjawatan M (PTD sahaja) atau lain-lainnya seperti U (perubatan) J (kejuruteraan), DG (perguruan) DS (pensyarah) N (pentadbiran) S (sosial) dan lain-lain lagi, adalah memegang jawatan sekurang-kurang pengarah Bahagian atau Jabatan atau lebih tinggi seperti Ketua Pengarah (KP), KSU dan seterusnya KSN.

Setekat ini jawatan-jawatan tersebut difahamkan adalah terdiri dari pelbagai kaum di Malaysia. Termasuk juga para Diplomat di luar negara.

Cuma apa yang menjadi isu dan yang pernah dibangkitkan sebelum ini ialah kenapa jawatan-jawatan  `penting' ini  `dibolot'  oleh PTD sahaja, tidak oleh mereka dari kumpulan lain seperti J,U, S dan sebagainya.

Oleh itu penyelesaian kepada isu ini tentulah dengan membuka ruang-ruang itu kepada mereka dari kumpulan lain dan tidak hanya terhad kepada mereka dari PTD sahaja.

Namun dengan percubaan membawa masuk `orang luar' terutama dari sektor swasta apakah isu yang sudah wujud sekian lama itu dapat diselesaikan ?  Saya rasa besar kemungkinannya  tidak .Malahan akan bertambah kusut lagi apabila nanti ramai pegawai kerajaan merasa kecewa dengan kerajaan. Dan ini akan memberi kesan yang sangat buruk kepada kerajaan.

Oleh itu, saya rasa sangat baik jika kerajaan tarik balik sahaja percubaan ini tetapi sebaliknya buka peluang itu kepada mereka yang berkelayakan dari kumpulan lain yang bukan PTD untuk memegang jawatan tersebut di kementerian-kementerian. Kalau ingin sangat sekalipun hendak membawa masuk orang luar buatlah secara `pertukaran selang' iaitu seperti KSU ditukar sebagai CEO di mana-mana syarikat dan sebaliknya secara kontrak. Ini saya rasa lebih baik lagi demi kepentingan dan kebaikan bersama - kerajaan dan pegawai kerajaan.