Jumaat, 9 Disember 2011

Jangan kucar kacirkan sektor awam dengan membawa masuk `orang luar'

Isu terbaru membabitkan sektor awam ialah mengenai percubaan memasukkan `orang luar' memegang jawatan Ketua Setia Usaha (KSU) di kementerian-kementerian dan juga berkemungkinan jawatan Ketua Setia Usaha Negara (KSN). 

Sehingga kini jawatan-jawatan tersebut didapati hanya disandang oleh pegawai kerajaan dari kumpulan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sahaja, yang sebelumnya dikenali sebagai Malaya Sivil Service (MSC).

Difahamkan untuk memperoleh jawatan PTD bukan satu perkara mudah kerana ia terpaksa melalui beberapa saringan serta tapisan ketat, termasuk ketajaman IQ dan sebagainya.

`Kod' pengenalan jawatan ini digunakan huruf M. Bermula dengan M41 hinggalah ke peringkat JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) dan seterusnya peringkat TURUS.

Lazimnya mereka yang berada di peringkat JUSA atau TURUS ini, baik dari kumpulan perjawatan M (PTD sahaja) atau lain-lainnya seperti U (perubatan) J (kejuruteraan), DG (perguruan) DS (pensyarah) N (pentadbiran) S (sosial) dan lain-lain lagi, adalah memegang jawatan sekurang-kurang pengarah Bahagian atau Jabatan atau lebih tinggi seperti Ketua Pengarah (KP), KSU dan seterusnya KSN.

Setekat ini jawatan-jawatan tersebut difahamkan adalah terdiri dari pelbagai kaum di Malaysia. Termasuk juga para Diplomat di luar negara.

Cuma apa yang menjadi isu dan yang pernah dibangkitkan sebelum ini ialah kenapa jawatan-jawatan  `penting' ini  `dibolot'  oleh PTD sahaja, tidak oleh mereka dari kumpulan lain seperti J,U, S dan sebagainya.

Oleh itu penyelesaian kepada isu ini tentulah dengan membuka ruang-ruang itu kepada mereka dari kumpulan lain dan tidak hanya terhad kepada mereka dari PTD sahaja.

Namun dengan percubaan membawa masuk `orang luar' terutama dari sektor swasta apakah isu yang sudah wujud sekian lama itu dapat diselesaikan ?  Saya rasa besar kemungkinannya  tidak .Malahan akan bertambah kusut lagi apabila nanti ramai pegawai kerajaan merasa kecewa dengan kerajaan. Dan ini akan memberi kesan yang sangat buruk kepada kerajaan.

Oleh itu, saya rasa sangat baik jika kerajaan tarik balik sahaja percubaan ini tetapi sebaliknya buka peluang itu kepada mereka yang berkelayakan dari kumpulan lain yang bukan PTD untuk memegang jawatan tersebut di kementerian-kementerian. Kalau ingin sangat sekalipun hendak membawa masuk orang luar buatlah secara `pertukaran selang' iaitu seperti KSU ditukar sebagai CEO di mana-mana syarikat dan sebaliknya secara kontrak. Ini saya rasa lebih baik lagi demi kepentingan dan kebaikan bersama - kerajaan dan pegawai kerajaan.

Tiada ulasan: