Rabu, 25 Januari 2012

Hukuman penjara mandatori pesalah trafik perlu kajian mendalam

Agaknya mungkin disebabkan agak kerap berlakunya eksiden jalan raya yang membawa kepada kematian maka baru-baru ini terdapat cadangan supaya dikenakan hukuman `mati mandatori' kepada pemaandu yang didapati terlibat dengan eksiden maut.

Secara umum penulis tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Hukuman yang terkandung dalam Akta Jalan Raya 1987 fasal 41 (1) yang diguna pakai sekarang ini penulis percaya sudah memadai untuk `mengajar' para pemandu yang terlibat dengan eksiden maut itu.

Hukuman penjara dan denda yang dikenakan mengikut akta tersebut dilihat sudah agak berat untuk ditanggung, terutama bagi golongan marhaen seperti pemandu lori, bas dan sebagainya. Penulis bukan hendak memperkecilkan kedudukan mereka tetapi itulah hakikatnya. Mereka sudah pasti bukan orang kaya apatah lagi bila mereka juga menjadikan `jawatan' pemandu itu sebagai sumber pendapatan untuk memberi nafkah kepada ahli keluarga atau anak bini mereka.

Akibat hukuman penjara mandatori itu lebih buruk dan rumit lagi kesannya kepada kakitangan kerajaan . Ini kerana setiap kakitangan kerajaan tanpa mengira kedudukan akan secara automatisnya akan hilang jawatannya dalam kerajaan apabila dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah. Perkara ini wajar difikirkan semasak-masaknya. Tidak tahulah saya macam mana reaksi CUEPACS dalam isu ini.

Penjara mandatori seperti yang dicadangkan itu saya kira boleh menjadi satu musibah yang amat besar bukan sahaja kepada golongan seperti yang disebutkan tetapi juga kepada orang-orang di bawah tanggungan mereka seperti isteri serta anak-anak dan sebagainya. 

Namun ia berbeza dengan pemandu yang mabuk atau laluk. Mereka itu dilhat memang patutlah sekiranya  dikenakan hukuman sedemikian seperti `penjara mandatori' sebagaimana yang dicadangkan . Kerana di sana ada unsur-unsur kesengajaan `mencari fasal' kepada bahaya dan kecelakaan. Sebab semua orang tahu bahawa pengaruh arak dan dadah itu sengat  an buruk kepada akal dan perlakuan manusia.

Oleh itu hukuman `penjara mandatori' itu tidak sesuai diguna pakai untuk semua pemandu atau pemandu biasa yang bukan dipengaruhi oleh arak dan dadah. Itu pun jika pihak berkuasa fikir sudah tiada cara lain lagi. Maknanya ia hanya sesuai digunakan sebagai `ikhtiar terakhir' sahaja. Apakah rekod kemalangan maut sehingga terutama dalam ops-ops yang diadakan sudah cukup teruk dan cara lain sudah tiada ?

Pandangan PDRM supaya cadangan tersebut perlu dikaji secara mendalam sebelum diambil dan diguna pakai adalah sangat wajar demi kebaikan kepada semua pihak.

Khamis, 19 Januari 2012

Waw ! Rakyat Malaysia banyak wang

Waw ! Rakyat Malaysia banyak wang . Taraf hidup mereka sudah melambung tinggi . Betapa tidaknya. Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan pada tahun 2011 lebih 1.21 juta kenderaan baru didaftarkan. Lebih tinggi dari tahun sebelumnya.

Pada tahun 2010 hanya 1.15 juta kenderaan sahaja. Lebih mengagumkan sebahagian besarnya adalah kenderaan bersendirian (kereta dan motorsikal). Itu pun, kata menteri berkaitan , kerana disebabkan berlaku banjir besar di Bangkok dan tsunami di Jepun. Jika tidak pasti sudah lebih dari itu.

Wau ! Sungguh mengembirakan sekali . Apakah ini petunjuk kepada taraf hidup rakyat sudah meningkat atau kerana rakyat Malaysia suka berhutang atau kerana wujudnya dasar kewangan yang smart atau.....atau....atau...?  

Walau bagaimanapun , lagi banyak kenderaan dijual lagi banyaklah pendapatan negara, (kerana pelbagai cukai yang berkaitan dengannya dapat dipungut), dan lagi banyak pendapatan negara dipungut maka diharapkan lagi banyaklah juga program pembangunan untuk rakyat dirancang dan dilaksanakan. Rakyat senang kerajaan pun akan senang juga.

Selasa, 17 Januari 2012

Bukan semua perkara boleh dibuat "joke"

Bergurau adalah sebahagian daripada unsur-unsur hiburan. Ia boleh menghiburkan hati yang lara dan fikirian yang kusut atau emosi yang tak stabil. Namun jika dibuat secara melampau atau tidak kena pada tempat atau masanya ia boleh mendatang kemudaratan kepada pelaku itu sendiri.

Ada `benda' yang boleh dibuat lawak (gurau) dan ada `benda' yang tidak boleh dibuat lawak. Ada benda yang sangat serius dan ada benda yang tidak serius dan ada benda yang tiada implikasi undang-undang atau hukum agama serta ada benda sebaliknya. Ada perkara yang sesuai untuk dibuat "joke" dan ada yang tidak. Pandai-pandailah memilihnya.

Perkara-perkara sensitif atau yang melibatkan maruah atau peribadi seseorang atau yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada seseorang atau yang boleh mendatangkan ancaman kepada seseorang atau orang-orang lain adalah sesuatu yang bukan boleh dibuat lawak. Pilihlah isu yang sesuai, masa yang sesuai dan sebagainya yang bukan sahaja tidak melibatkan perkara-perkara tersebut tetapi juga yang tidak melanggar undang-undang negara dan hukum agama.

Orang-orang yang berakal, berakhlak, berpelajaran, beragama tentu mengetahui dan memahami maksud dan batas jenaka sebenar. Dia tahu bila, di mana dan kepada siapa yang hendak dijenakakannya. Bukan semua tempat, bukan semua keadaan dan bukan semua perkara. 

Bagi kaum muslimin dan muslimat mereka diajarkan supaya tidak boleh bergurau tanpa batas. Ini kerana menurut syariat Islam difahamkan ada perkara-perkara yang langsung tidak boleh untuk dibuat jenaka seperti nikah, talak dan rujuk. Ini kerana jika hanya "joke' sekali pun  menjadi serius dan kalau serius pun memang terhasil seriusnya". 

Oleh itu, kepada umat Islam dipesankan agar hati-hatilah untuk nak buat "joke' . Wallahu a'lam.

Ahad, 15 Januari 2012

PRU ke 13 terlalu hampir ?

Memasuki tahun 2012 ni terasa sangat bahang pilihan raya umum ke 13 . Terasa seolah-olah terlalu hampir waktunya seperti berlakunya detik nazak kepada orang nak mati.

Apa tidaknya dalam seminggu dua ini sahaja macam-macam cerita mengenai peneraju-peneraju parti politik turun padang berjumpa masyarakat. Ia semacam tak pernah berlaku sebelum ini.

Macam-macam pula aktiviti dibuat; baik mesyuarat, lawatan, campur gaul, interaksi dan macam-macam lagi...dan macam-macam feil ditunjukkan.

Macam-macam ucapkata yang boleh difahamkan sebagai `kempen' didengari atau ditemui menerusi laporan-laporan  media - arus perdana dan bukan arus perdana.

Tak payahlah disebut satu persatu. Dan tak kisahlah itu semua kerana macam nilah caranya sistem berpolitik dan kempen di negara kita sejak `zaman berzaman'.

Namun yang nyata berubahnya dalam senario ini ialah pemikiran dan sikap masyarakat zaman ini .Fikirannya lebih terbuka dan sikap lebih realistik berbanding zaman-zaman lampau. Ini salah satu faktornya dek kerana berlakunya peningkatan pendidikan serta kemudahan saluran komunikasi , kemajuan teknologi maklumat dan sebagainya.

Perubahan ini seharusnya dijadikan asas atau barang rujuk untuk menjalankan sesuatu kempen. Pendekatan yang hendak diguna pakai mestilah sesesuai serta sejajar dengan perubahan ruang lingkap pemikiran dan sikap itu. Kerana itu memberi kesan terhadap tingkah laku dan tindakan - menyokong atau sebaliknya. 

Jika ini tidak diambil peduli tengoklah kepada keputusan pilihan raya itu nanti . Iangatlah apa  yang `disumbat' sewaktu berkempen itu , sama bersifat `soft ware' (maklumat) atau hardaware (metrial/ wang ringgit) semuanya akan diterima bulat-bulat atau tidak

Oleh itu awasilah dalam mengatur langkah berkempen . Juga sayugia diambil ingat bahawa `mesej itu, bukan sahaja ada dalam ucapan semata-mata tetapi juga ada dalam faktor-faktor lain seperti penampilan diri. Dan ini membabitkan semua pihak serta individu yang menjadi `alat' atau yang boleh dianggap sebagai `alat' kepada kempen. Tersilap catur buruklah padahnya 

Apa pun  diharapkan segala strategi yang dirangka bagi  mencapai segala matlamat masing-masing itu tidaklah pula boleh mengorbankan bangsa , agama dan negara sendiri. Tanggungjawab ini hendaklah dipikul bersama, sama ada peneraju parti politik itu sendiri mahupun peyokong yang akan membuat keputusan memilih pada hari membuang undi nati. Pilihlah parti yang `patut menang' .  Wallahu a'lam.   

Jumaat, 13 Januari 2012

SBPA disemak semula selesai isu berbangkit - PM


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.

Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Najib juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana. -

BERNAMA/Utusan



Khamis, 12 Januari 2012

Dakwat kekal diharuskan syarak. Terima kasih Majlis Fatwa

Terima kasih kepada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana mengeluarkan fatwa menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke 13 akan datang DIHARUSKAN syarak. Dengan adanya fatwa ini diharapkan pengundi-pengundi beragama Islam khasnya dan umat Islam di negara ini amnya tidak lagi diselimuti keraguaan dan kebimbangan terhadap kesannya kepada ibadat mereka, khususnya yang berkaitan dengan mengangkat hadas kecil dan hadas besar serta ibadat-ibadat lain yang berkaitan seperti solat fardhu dan sebagainya.

Rabu, 11 Januari 2012

Tahun baru harga barang juga baru ?

Tirai tahun 2012 dibuka di negara kita dengan kemunculan beberapa peristewa menarik terutama yang melibatkan bidang politik dan harga barang-barang kegunaan harian.

Pada 9 Januari , Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim dibebaskan daripada pertuduhan kes liwatnya yang proses perbicaraannya selama lebih kurang tiga tahun . Kira-kira sehari sebelum itu sebelum itu seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali dipecat daripada partinya (Pas) atas alasan `tak senonoh' . 

Itu dari segi senario politik. Mungkin tidak melibatkan semua orang secara langsung. Tapi dari segi senario naik turun harga barang dan perkhidmatan ia semestinya melibatkan semua orang. Apatah lagi jika membabitkan barang-barang makanan dan pakaian.

Memasuki tahun baru ini harga makanan masak dan mentah telah didapati naik dengan mendadak. Misalnya ikan temenong (kembong)  yang sangat popular dan paling digemari golongan berpendapatan rendah dan sederhana di utara Semenanjung tiba-tiba naik dari kebiasaannya pada tahun 2011 antara RM4.00 hingga RM 8.00 sekilogram kepada RM10.00 hingga RM12.00  sekilogram. Yang lain-lain tak payah dikira lagi. Sotong , udang dan ketam apatah lagi. 

Roti canai pula yang merupakan antara menu kegemaran rakyat biasa terutama untuk makan pagi, sebelum ini hanya antara 70 sen dan 90 sen sahaja di utara Semenanjung kini telah dinaikkan kepada RM1.00 satu keping. Ini belum lagi kuih muih lain.  Dengan cerita harga barang-barang keperluan lain juga dijangka akan naik tak lama lagi. Ini tidak termasuk kain baju dan pakaian. Apakah puncanya ? Jawapan lazim oleh pihak berkuasa yang sering didengari ialah  `kerana masalah global'. Demikian adanya. Namun kepada pihak berkuasa diharap dapat memberi perhatian terhadap senario ini. Hanya itulah saja yang termampu dibuat oleh golongan marhen. Wallah alam.  

Rabu, 4 Januari 2012

Maha Suci Allah menjadikan ikan tidak masin ; sekalipun berada di dalam air masin

Bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dia seharusnya menanamkan dalam dirinya perasaan untuk menghargai nikmat (anugerah kebaikan/kelebihan) Allah kepadanya. Sama ada ia (nikmat itu) diberikan secara langsung atau tidak langsung seperti menerusi anak dan sebagainya. Nikmat yang boleh dilihat (ketara) atau tidak ketara. 

Di antara nikmat ketara dan yang paling jelas ialah kecantikan rupa paras , kekayaan harta benda, keselesaan tempat kediaman dan banyak lagi. Manakala di antara nikmat dalaman ialah otak yang cerdas, pntar dan sebagainya.

Beruntunglah bagi seseorang itu jika Allah limpahkan atau anugerahkan kepadanya dengan pelbagai nikmat tersebut , tidak kiralah sama ada nikmat-nikmat itu tidak secara langsung kepadanya tetapi kepada anak-anaknya.

Seseorang bapa atau lebih-lebih lagi seseorang ibu tentulah akan berasa cukup bangga jika anaknya atau anak-anaknya dinugerahkan otak yang pintar misalnya  . Ini kerana menerusi nikmat itu bukan sahaja akan memperoleh kedudukan cemerlang di dalam pelajarannya tetapi lebih dari itu seperti pengajiannya ditaja oleh pihak lain dan sebagainya . Malah yang lebih beruntung lagi sekiranya dapat pula belajar di luar negara pula.

Hakikatnya bukan semua orang dapat semua nikmat itu. Maknanya siapa yang dapat nikmat-nikmat itu dia adalah di antara orang yang Allah pilih mengikut kehendakNya. Maknanya dia adalah di antara yang `bertuah'. 

Oleh itu, siapa sahaja yang ada nikmat-nikmat itu kenalah bersyukur kepada Allah. Bersyukur bukan sekadar berkata "Al-hamdulillah"sahaja tetapi mesti dimanifestasikan dengan perlakuan , pengucapan dan sebagainya yang tidak melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya.

Namun, hakikat ini kebanyak kita tidak mempedulikannya. Mungkin ia dianggap hanya satu kebetulan sahaja. Justeru manifestasi kesyukuran itu tidak kelihatan. Yang kelihatan kebanyakannya ialah perasaan k
riak, ujub dan sombong.

Dalam situasi mengejar longgokan metrialistik ini, cuba kita renungkan seketika kemudian disusuli dengan menyedari siapa kita yang sebenarnya. Jika kita sudah mengenali kita pasti kita tidak terlajak teruk sangat sekalipun kita berada di tengah-tengah persekitaran yang mencabar syariat agama kita atau suruhan/tegahan Allah dan Rasul-Nya.

Melanggar perintah Allah tidak semestinya meninggalkan solat dan puasa tetapi banyak lagi , termasuk membuka aurat pada tahap yang tidak dibenarkan dan sebagainya. ; tak kiralah di mana-mana pun - luar negara atau dalam negara- kerana Allah itu tuhan yang maha melihat lagi maha mendengar. Maha suci Allah menjadikan ikan itu tidak masin sekalipun berada di dalam lautan yang airnya sememang masin. Wallahu alam.