Selasa, 17 Januari 2012

Bukan semua perkara boleh dibuat "joke"

Bergurau adalah sebahagian daripada unsur-unsur hiburan. Ia boleh menghiburkan hati yang lara dan fikirian yang kusut atau emosi yang tak stabil. Namun jika dibuat secara melampau atau tidak kena pada tempat atau masanya ia boleh mendatang kemudaratan kepada pelaku itu sendiri.

Ada `benda' yang boleh dibuat lawak (gurau) dan ada `benda' yang tidak boleh dibuat lawak. Ada benda yang sangat serius dan ada benda yang tidak serius dan ada benda yang tiada implikasi undang-undang atau hukum agama serta ada benda sebaliknya. Ada perkara yang sesuai untuk dibuat "joke" dan ada yang tidak. Pandai-pandailah memilihnya.

Perkara-perkara sensitif atau yang melibatkan maruah atau peribadi seseorang atau yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada seseorang atau yang boleh mendatangkan ancaman kepada seseorang atau orang-orang lain adalah sesuatu yang bukan boleh dibuat lawak. Pilihlah isu yang sesuai, masa yang sesuai dan sebagainya yang bukan sahaja tidak melibatkan perkara-perkara tersebut tetapi juga yang tidak melanggar undang-undang negara dan hukum agama.

Orang-orang yang berakal, berakhlak, berpelajaran, beragama tentu mengetahui dan memahami maksud dan batas jenaka sebenar. Dia tahu bila, di mana dan kepada siapa yang hendak dijenakakannya. Bukan semua tempat, bukan semua keadaan dan bukan semua perkara. 

Bagi kaum muslimin dan muslimat mereka diajarkan supaya tidak boleh bergurau tanpa batas. Ini kerana menurut syariat Islam difahamkan ada perkara-perkara yang langsung tidak boleh untuk dibuat jenaka seperti nikah, talak dan rujuk. Ini kerana jika hanya "joke' sekali pun  menjadi serius dan kalau serius pun memang terhasil seriusnya". 

Oleh itu, kepada umat Islam dipesankan agar hati-hatilah untuk nak buat "joke' . Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: