Rabu, 25 Januari 2012

Hukuman penjara mandatori pesalah trafik perlu kajian mendalam

Agaknya mungkin disebabkan agak kerap berlakunya eksiden jalan raya yang membawa kepada kematian maka baru-baru ini terdapat cadangan supaya dikenakan hukuman `mati mandatori' kepada pemaandu yang didapati terlibat dengan eksiden maut.

Secara umum penulis tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Hukuman yang terkandung dalam Akta Jalan Raya 1987 fasal 41 (1) yang diguna pakai sekarang ini penulis percaya sudah memadai untuk `mengajar' para pemandu yang terlibat dengan eksiden maut itu.

Hukuman penjara dan denda yang dikenakan mengikut akta tersebut dilihat sudah agak berat untuk ditanggung, terutama bagi golongan marhaen seperti pemandu lori, bas dan sebagainya. Penulis bukan hendak memperkecilkan kedudukan mereka tetapi itulah hakikatnya. Mereka sudah pasti bukan orang kaya apatah lagi bila mereka juga menjadikan `jawatan' pemandu itu sebagai sumber pendapatan untuk memberi nafkah kepada ahli keluarga atau anak bini mereka.

Akibat hukuman penjara mandatori itu lebih buruk dan rumit lagi kesannya kepada kakitangan kerajaan . Ini kerana setiap kakitangan kerajaan tanpa mengira kedudukan akan secara automatisnya akan hilang jawatannya dalam kerajaan apabila dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah. Perkara ini wajar difikirkan semasak-masaknya. Tidak tahulah saya macam mana reaksi CUEPACS dalam isu ini.

Penjara mandatori seperti yang dicadangkan itu saya kira boleh menjadi satu musibah yang amat besar bukan sahaja kepada golongan seperti yang disebutkan tetapi juga kepada orang-orang di bawah tanggungan mereka seperti isteri serta anak-anak dan sebagainya. 

Namun ia berbeza dengan pemandu yang mabuk atau laluk. Mereka itu dilhat memang patutlah sekiranya  dikenakan hukuman sedemikian seperti `penjara mandatori' sebagaimana yang dicadangkan . Kerana di sana ada unsur-unsur kesengajaan `mencari fasal' kepada bahaya dan kecelakaan. Sebab semua orang tahu bahawa pengaruh arak dan dadah itu sengat  an buruk kepada akal dan perlakuan manusia.

Oleh itu hukuman `penjara mandatori' itu tidak sesuai diguna pakai untuk semua pemandu atau pemandu biasa yang bukan dipengaruhi oleh arak dan dadah. Itu pun jika pihak berkuasa fikir sudah tiada cara lain lagi. Maknanya ia hanya sesuai digunakan sebagai `ikhtiar terakhir' sahaja. Apakah rekod kemalangan maut sehingga terutama dalam ops-ops yang diadakan sudah cukup teruk dan cara lain sudah tiada ?

Pandangan PDRM supaya cadangan tersebut perlu dikaji secara mendalam sebelum diambil dan diguna pakai adalah sangat wajar demi kebaikan kepada semua pihak.

Tiada ulasan: