Ahad, 27 Mei 2012

Akhirnya muzakarah tak jadi, al-hamdulillah

Akhirnya muzakarah yang diuar-uarkan antara UMNO dengan Pas tak jadi. Al-hamdulillah, syukur

Dari mula lagi isu ditimbulkan saya lihat ia hanya satu gimik politik sahaja , tamabah lagi menjelang pilihan raya umum ini dan kelihatan semata-mata untuk mencari populariti , bukan kebenaran.

Tidak jelas apakah persoalaan sebenarnya yang hendak dimuazakarahkan. Ini kerana antara Pas dan UMNO kini saya tidak nampak apa-apa jurang perbezaan, kecuali dari nama sahaja.

Tidak seperti dahulu atau sebelum dekat pertama alaf baru ini. Perjuangan Pas semasa itu ialah untuk menegakkan negara Islam, membangun bersama Islam, dan sebagainya di mana `hukum hudud' dijadikan inti pati perjauangan keseluruhannya.

Justeru itu tidak hairan jika ia mendapat tempat di hati nurani sebahagian orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.

Akibat dari gambaran dasar dan perjuangan sedemikian rupa maka terdapat sebahagian dari pengikut atau penyokongnya yang taksub bertindak agak agresif di mana penyokong-penyokong UMNO atau mereka yang dianggap bersekongkol dengannya juga dicap dengan pelbagai gelaran keji. seperti kafir, fasik, munafik dan sebagainya.

Gelaran seperti ini amat menghiris hati mereka yang menjadi mangsa . Malah isu ini pada suatu ketika dahulu telah menyebabkan perpecahan teruk di kalanga masyarakat Melayu Islam, bukan sahaja dari segi politiknya tetapi dari segi sosial dan kekeluargaan juga.


Ini terbukti apabila ada sesetengah masjid wujud solat jemaah dua imam, sembelih orang UMNO tidak boleh dimakan, setengah-tengah perkahwinan dibatalkan dan diakad semula kerana dianggap sah dan sebagainya.

Cerita-cerita seperti ini adalah sangat lumrah didengar pada tahun-tahun 1960-an, t970-an dan seterusnya sehinggalah selepas pilihanraya umum ke 12 pada 2008 dan kebelakangan ini apabila dasar atau pendekatan sedemikian itu diubah kepada "negara berkebajikan' .

Pertukaran dasar serta pendekatan itu dilihat ia tak jauh bezanya dengan dasar perjuangan UMNO, meskipun mungkin dari segi pendekatannya tidak serupa.

Jika suatu ketika dahulu Pas mempertikaikan UMNO `berkawan' dengan parti kaum-kaum lain untuk berkuasa , kini Pas pun mengambil pendekatan yang sama apabila menyertai Pakatan Rakyat. Malah Pas bukan sahaja `berkawan' tapi kelihatan lebih banyak `bersetuju' atau `angguk' dengan pendirian kawan-kawannya di dalam PR. Tidak mengapa kerana sistem politik negara kita berteraskan demokrasi.

Cumanya Pas dan juga UMNO tak perlulah nak  `cari' masalah sehingga wujud perpecahan ketara di dalam masyarakat Melayu/Islam yang menjadi pendukung utama kepada kedua-dua parti tersebut, terutama dari segi sosial dan kekeluargaan sepertimana berlaku sebelum ini.

Oleh itu kesimpulannya ttidaklah perlu lagi kepada muzakarah . Dan keputusan tak jadi muzakarah itu satu yang bijak dan merupakan satu rahmat cukup besar .

Sebaliknya teruskan sahaja perjuangan dengan susunkan sahaja strategi politik masing-masing dengan berhemah serta sesuai dengan sistem sosial dan sisitem nilai yang diwarisi dan diamalkan di negara ini sejak sekian lama. 

Ahad, 20 Mei 2012

Cara penyampaian di dalam majlis kuliah/tazkirah di masjid/surau perlu diubah

Menghadiri majlis ilmu sangat-sangat dituntut di dalam agama Islam. Ia untuk membolehkan seseorang Muslim/Muslimah itu memahami segala ilmu pengetahuan mengenai agamanya atau menambahkan ilmu yang sedia ada. Baik dalam bidang akidah, fiqah , akhlak, mahupun dalam bidang tassauf.

Untuk mendapat segala ilmuan ini sangatlah mudah pada zaman ini. Ia tidak seperti zaman dahulu. Sumber ilmu pada zaman dahulu tersangat susah untuk diperolehi . Ia kerana kekurangan asses. Sebaliknya pada zaman ini segala-galanya senang, dan ada di mana-mana  termasuk lama maya. Cuma mahu atau tidak mahu sahaja.

Jadi tidak sebab untuk mengatakan tiada kesempatan dan sebagainya . Di rumah-rumah ibadat pula seperti masjid dan surau di seluruh negara di Malaysia ini disediakan dengan berbagai program ilmu yang dinamakan dengan berbagai jenis nama seperti kuliah , tazkirah dan lain-lain.

Ada kuliah subuh, ada kuliah maghrib, dan juga kuliah dhuha dan kuliah Jumaat. Selain dari itu ada juga dinamakan majlis tazkirah, ceramah dan sebagaiinya yang diadakan mengikut kalendar tahun hijrah seperti maal hijrah, maulidul rasul, israk mikraj dan sebagainya dan ada juga yang diadakan sepanjjang masa . Malah ada setengah qariah mengadakannya sehingga 18 kali seminggu.

Namun dari segi kaedah atau penyampaiannya adalah sama sahaja - "one way communicaton" atau ada juga orang panggilnya bentuk "monolog".. Ia bermakna hanya seorang sahaja yang bercakap iaitu ustaz atau `tok guru' yang dijemput dan sebagainya , manakala yang menjadi muridnya atau pendengar hanya hadir semata-mata.tanpa diberi peluang bertanya soalan. Faham ke tak faham wallahu alam.

Ruang untuk bertanya atau `muzakarah' langsung tidak atau jika ada pun paling terhad. Lazim dan kebanyakannya tidak ada langsung. Habis kuliah atau ceramah ustaz atau tok guru berkenaan akan tutup majlis dan pulang.

Saya tak tahulah sehingga bila kaedah ini akan diguna pakai dalam majlis atau program majlis ilmu ini yang tujuannya sangat jelas iaitu untuk menyebar ilmu agama serta memberi kefahaman kepada ummah agar dengan ilmu yang diperoleh atau tertambah itu akan membolehkan mereka berjaya melakukan amal ibadat dengan betul. Justeru segala amalan itu tidak sia-sia atau mendapat keredhaan Allah. .

Kita tahu bahawa dalam syariat Islam bukan semata-mata disuruh menuntut sebanyak mungkin ilmu tetapi juga dituntut supaya beramal sedayamungkin.Tetapi macam mana nak beramal jika tak faham.  Dalam hal ini siapa akan dipertanggungjawabkan ?

Saya kira sudah sampai waktunya bagi para penganjur program atau para penceramah atau siapa sahaja yang ada hubung kait dengan penganjuran dan  pengelolaan majlis ilmu mengubah cara persembahan (teknik penyampaian) supaya tujuan murni menyebar ajaran agama Allah ini berkesan .

Jumaat, 18 Mei 2012

Bilakah agaknya pilihan raya ni akan diadakan ?

Jika pilihan raya umum ke 13 diadakan pada bulan September ini sebanyak lebih kurang tiga juta pemilih layak mengundi; demikian kata SPR seperti dilaporkan media baru-baru ini..

Kebelakangan ini cakap-akap mengenai pilihan raya ada di mana-mana sahaja dalam Malaysia ini. Orang politik ke, bukan orang politik, orang bandar ke orang kampung ke, orang tua ke orang mudaa ke , semuanya cakap pasal pilihan raya.

Tetapi yang menjadi masalah dan keliru sikit adalah fasal tarikh sebenar bila ia akan diadakan. Perkara ini hanya kerajaan atau parti yang memerintah di peringkat sahaja yang sangat tahu. Orang lain tu main agak-agak sahajalah

Kuasa menetap tarikh itu hakikatnya ada di tangan Perdana Menteri. Bila PM dah tetap beliau akan menasihatkan Yang Di Pertuan Agong bubar Parlimen serta seterusnya Dewan Undangan oleh Sultan atau Yang Di Pertua Negeri  dan SPR sebagai satu-satunya badan yang diberi kuasa mengendalikan pilihan raya akan mengumumkan segala proses yang ada kaitan dengan pilihan raya.

 Maka tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi pun diumumkan, termasuklah mengira dan mengisytiharkan siapa menang dan siapa kalah. Siapa akan membentuk kerajaan dan siapa akan menjadi pembangkang. Baik di peringkat Pusat mahupun di peringkat Negeri.

Uniknya yang menang di peringkat Pusat iaitu menerusi kerusi-kerusi Parlimen tidak semestinya menang di peringkat Negeri iaitu menerusi kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri.

Jadi, parti yang tak dapat bentuk kerajaan pusat kerana gagal mendapat lebih 50 peratus kerusi di perigkat Parlimen tak semestinya gagal keseluruhannya .

Mungkin berjaya di peringkat Dewan Undangan Negeri. Maka dia pun bentuk juga kerajaan tapi di peringkat negerilah; bukan pusat.

Cumanya siapa-siapa yang yang berhasrat nak jadi PM akan menjadi masalahlah sebab tak menang seawajarnya di peringkat Parlimen.

Pun begitu , kena terimalah hakikatnya yang negara kita ini mengamalkan sistem demokrasi yang sedemikian bentuknya . Tak apalah tak dapat perintah pusat pun dapat juga perintah negeri. Cuma kuasanya sahaja lebih terbatas sikit.

Untuk menang semua sekali kenalah kerja kuat. Dalam politik ni kerja kuat tu termasuklah cakap kuat. Makna cakap kuat itu samalah dengan kerja kuat. Tapi cakap pun kenalah tengok juga, tambah lagi orang Islam, faham-faham sudahalh.

Apa pun jangan jadikan orang ramai sebagai mangsa `cakap kuat' dan kerja kuat sudahlah. jangan kerana kita kerja kuat dan cakap kuat orang ramai atau rakyat lintang pungkang hidupnya. Tak bolehlah macam ni.

Maki hamun, fitnah, serang sana serang sini, masam muka masam muka sini , ganas sana ganas sini dan sebagainya. tak usah buat macam tu. Tak baik. Buatlah cara elok sikit.

Kempenlah elok-elok, ikut pertauran, hormati undang-undang negara, patuh peraturan atau syariat agama serta tatasusila budaya kita.

Siapa yang ada namanya di dalam Daftar pemilih SPR itu, patutlah ambil tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi di kawasan serta tempat mengundi yang ditetapkan atau yang kita sendiri pilih. Selamt mengundi.