Ahad, 27 Mei 2012

Akhirnya muzakarah tak jadi, al-hamdulillah

Akhirnya muzakarah yang diuar-uarkan antara UMNO dengan Pas tak jadi. Al-hamdulillah, syukur

Dari mula lagi isu ditimbulkan saya lihat ia hanya satu gimik politik sahaja , tamabah lagi menjelang pilihan raya umum ini dan kelihatan semata-mata untuk mencari populariti , bukan kebenaran.

Tidak jelas apakah persoalaan sebenarnya yang hendak dimuazakarahkan. Ini kerana antara Pas dan UMNO kini saya tidak nampak apa-apa jurang perbezaan, kecuali dari nama sahaja.

Tidak seperti dahulu atau sebelum dekat pertama alaf baru ini. Perjuangan Pas semasa itu ialah untuk menegakkan negara Islam, membangun bersama Islam, dan sebagainya di mana `hukum hudud' dijadikan inti pati perjauangan keseluruhannya.

Justeru itu tidak hairan jika ia mendapat tempat di hati nurani sebahagian orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.

Akibat dari gambaran dasar dan perjuangan sedemikian rupa maka terdapat sebahagian dari pengikut atau penyokongnya yang taksub bertindak agak agresif di mana penyokong-penyokong UMNO atau mereka yang dianggap bersekongkol dengannya juga dicap dengan pelbagai gelaran keji. seperti kafir, fasik, munafik dan sebagainya.

Gelaran seperti ini amat menghiris hati mereka yang menjadi mangsa . Malah isu ini pada suatu ketika dahulu telah menyebabkan perpecahan teruk di kalanga masyarakat Melayu Islam, bukan sahaja dari segi politiknya tetapi dari segi sosial dan kekeluargaan juga.


Ini terbukti apabila ada sesetengah masjid wujud solat jemaah dua imam, sembelih orang UMNO tidak boleh dimakan, setengah-tengah perkahwinan dibatalkan dan diakad semula kerana dianggap sah dan sebagainya.

Cerita-cerita seperti ini adalah sangat lumrah didengar pada tahun-tahun 1960-an, t970-an dan seterusnya sehinggalah selepas pilihanraya umum ke 12 pada 2008 dan kebelakangan ini apabila dasar atau pendekatan sedemikian itu diubah kepada "negara berkebajikan' .

Pertukaran dasar serta pendekatan itu dilihat ia tak jauh bezanya dengan dasar perjuangan UMNO, meskipun mungkin dari segi pendekatannya tidak serupa.

Jika suatu ketika dahulu Pas mempertikaikan UMNO `berkawan' dengan parti kaum-kaum lain untuk berkuasa , kini Pas pun mengambil pendekatan yang sama apabila menyertai Pakatan Rakyat. Malah Pas bukan sahaja `berkawan' tapi kelihatan lebih banyak `bersetuju' atau `angguk' dengan pendirian kawan-kawannya di dalam PR. Tidak mengapa kerana sistem politik negara kita berteraskan demokrasi.

Cumanya Pas dan juga UMNO tak perlulah nak  `cari' masalah sehingga wujud perpecahan ketara di dalam masyarakat Melayu/Islam yang menjadi pendukung utama kepada kedua-dua parti tersebut, terutama dari segi sosial dan kekeluargaan sepertimana berlaku sebelum ini.

Oleh itu kesimpulannya ttidaklah perlu lagi kepada muzakarah . Dan keputusan tak jadi muzakarah itu satu yang bijak dan merupakan satu rahmat cukup besar .

Sebaliknya teruskan sahaja perjuangan dengan susunkan sahaja strategi politik masing-masing dengan berhemah serta sesuai dengan sistem sosial dan sisitem nilai yang diwarisi dan diamalkan di negara ini sejak sekian lama. 

Tiada ulasan: