Ahad, 20 Mei 2012

Cara penyampaian di dalam majlis kuliah/tazkirah di masjid/surau perlu diubah

Menghadiri majlis ilmu sangat-sangat dituntut di dalam agama Islam. Ia untuk membolehkan seseorang Muslim/Muslimah itu memahami segala ilmu pengetahuan mengenai agamanya atau menambahkan ilmu yang sedia ada. Baik dalam bidang akidah, fiqah , akhlak, mahupun dalam bidang tassauf.

Untuk mendapat segala ilmuan ini sangatlah mudah pada zaman ini. Ia tidak seperti zaman dahulu. Sumber ilmu pada zaman dahulu tersangat susah untuk diperolehi . Ia kerana kekurangan asses. Sebaliknya pada zaman ini segala-galanya senang, dan ada di mana-mana  termasuk lama maya. Cuma mahu atau tidak mahu sahaja.

Jadi tidak sebab untuk mengatakan tiada kesempatan dan sebagainya . Di rumah-rumah ibadat pula seperti masjid dan surau di seluruh negara di Malaysia ini disediakan dengan berbagai program ilmu yang dinamakan dengan berbagai jenis nama seperti kuliah , tazkirah dan lain-lain.

Ada kuliah subuh, ada kuliah maghrib, dan juga kuliah dhuha dan kuliah Jumaat. Selain dari itu ada juga dinamakan majlis tazkirah, ceramah dan sebagaiinya yang diadakan mengikut kalendar tahun hijrah seperti maal hijrah, maulidul rasul, israk mikraj dan sebagainya dan ada juga yang diadakan sepanjjang masa . Malah ada setengah qariah mengadakannya sehingga 18 kali seminggu.

Namun dari segi kaedah atau penyampaiannya adalah sama sahaja - "one way communicaton" atau ada juga orang panggilnya bentuk "monolog".. Ia bermakna hanya seorang sahaja yang bercakap iaitu ustaz atau `tok guru' yang dijemput dan sebagainya , manakala yang menjadi muridnya atau pendengar hanya hadir semata-mata.tanpa diberi peluang bertanya soalan. Faham ke tak faham wallahu alam.

Ruang untuk bertanya atau `muzakarah' langsung tidak atau jika ada pun paling terhad. Lazim dan kebanyakannya tidak ada langsung. Habis kuliah atau ceramah ustaz atau tok guru berkenaan akan tutup majlis dan pulang.

Saya tak tahulah sehingga bila kaedah ini akan diguna pakai dalam majlis atau program majlis ilmu ini yang tujuannya sangat jelas iaitu untuk menyebar ilmu agama serta memberi kefahaman kepada ummah agar dengan ilmu yang diperoleh atau tertambah itu akan membolehkan mereka berjaya melakukan amal ibadat dengan betul. Justeru segala amalan itu tidak sia-sia atau mendapat keredhaan Allah. .

Kita tahu bahawa dalam syariat Islam bukan semata-mata disuruh menuntut sebanyak mungkin ilmu tetapi juga dituntut supaya beramal sedayamungkin.Tetapi macam mana nak beramal jika tak faham.  Dalam hal ini siapa akan dipertanggungjawabkan ?

Saya kira sudah sampai waktunya bagi para penganjur program atau para penceramah atau siapa sahaja yang ada hubung kait dengan penganjuran dan  pengelolaan majlis ilmu mengubah cara persembahan (teknik penyampaian) supaya tujuan murni menyebar ajaran agama Allah ini berkesan .

Tiada ulasan: