Ahad, 24 Jun 2012

Jemput kenduri biarlah ikhlas

Catatan kali ini adalah berkenaan dengan cara menjemput dan melayan tetamu kenduri kahwin mengikut amalan masyarakat Melayu dan anjaran agama Islam.

Dalam masyarakat Melayu cara menjemput tetamu sama ada jiran , kaum kerabat, sahabat handai dan sebagainya ada caranya tersendiri  , namun terdapat sedikit perbezaan antara zaman dahulu dengan zaman alaf baru ini.

Jemputan pada abad lalu mementingkan jemputan lisan atau dipanggil "jemputan mulut" terutama bagi masyarakat desa dan luar bandar. Jumputan dengan mulut itu dianggap lebih mesra dan ikhlas . Waktu itu di kampung-kampung tak pakai kad seperti sekarang.

Jemputan cara mulut itu sama ada dengan dijemput sendiri oleh tuan empunya kenduri atau mewakilkan kepada seseorang lain; biasanya ketua kampung atau tok imam.

Cara nak wakilnya pula ialah dengan menjemput dirinya serta ahli keluarganya terlebih dahulu sebelum mewakilkanya menjemput orang lain. Jika tidak dia hanya menjemput orang lain sahaja tetapi dia sendiri dan keluarganya tak akan datang kerana dianggap tidak dijemput.

Begitullah telitinya dan prihatinnya masyarakat pada zaman itu terhadap pemakanan kerana takut jadi memakan akan makanan yang haram atau syubhah walau pun dari segi perbuatannya dan bukan diri makanan itu sendiri.

Itu dari segi cara jemputan. Bagaimana pula dari segi cara menyambut tetamu yang datang  Ia juga dibuat dengan penuh berhati-hati dan berhemah agar tidak ada siapa di kalangan tetamunya yang rasa terkecil hati dan terhina.

Misalanya setelah tetamu datang pada hari berlangsungnya majlis kenduri itu tuan rumah akan menyambut tetamu dengan penuh rasa seronok dan ceria bagi menggambarkan keikhlasan. Ini bukan sahaja kerana adat resam atau budaya tetapi ia juga berdasarkan ajaran agama.

Namun, itu hanya berlaku pada zaman dahulu - zaman belum ramai orang ada ilmu, belum ramai orang reti membaca dan menulis dan barangkali belum ramai orang ada macam-macam pangkat dan kedudukan dan belum ramai yang ada kereta besar dan rumah besar.

Sekarang, zaman alaf baru ini sungguh jauh bezanya. Jemput pakai pesan sahaja, pakai kirim `salam' sahaja, pakai telefon, pakai sistem pesanan ringkas (sms) pakai facebook dan sebagainya. Bukan sahaja dibuat kepada kenalan, rakan atau sahabat tetapi juga kepada kaum kerabat termasuk yang lebih atas susunlapis pertalian darahnya seperti bapa saudara, emak saudara dan lain-lain.

Pun begitu boleh tahan lagi. Tapi yang amat menyedihkan tatkala sampai ke majlis sambutan yang diberikan oleh tuan rumah atau yang empunya kenduri itu berbeza antara tetamu. Yang ada pangkat, yang ada kereta besar, yang ada nama besar disambut dengan penuh ceria, tak cukup dengan senyum ditambah dengan berpeluk-peluk lagi.

Akan tetapi yang tak ada pangkat, tak ada nama, yang mungkin tak berapa suka tapi kerana terpaksa jemput sebab takut orang kata, sebab ada hubungan darah daging lalu dibuat tak nampak, dibuat tak sede sahaja sedangkan yang datang itu bukan dari jarak dekat. Bahkan beratus kilometer. Namun itu tidak diambil kira.

Maka jadilah jemputan itu semacam tiada iklas sahaja. Jika tidak ikhlas jangan jemput awal-awal lagi kerana mmenyusahakan diri sendiri dan menghina orang yang dijemput . Ini kerana dari hukum syarak jemput itu sunat tapi hadir itu wajib. Maknanya jika tak tunai berdosa tapi bila tunai tuan rumah pula buat pandang tak pandang sahaja.

 Jadi, kepada sesiapa pun kalau rasa tak ikhlas nak jemput seseorang itu, janganlah jemput sekalipun ada pertalian daging darah. Janganlah jemput kerana nak jaga hati orang tapi menghina orang yang dijemput. Buat apa kita bermunafik dengan Allah SWT(wa iyazubillah). Ingatlah bahawa Allah itu amat mengetahui segala-galanya.



Tiada ulasan: