Khamis, 14 Jun 2012

PRU ke 13 tak mungkin diadakan pada musim haji

Betullah kata-kata ilmuan politik bahawa politik itu hidup dengan isu. Tanpa isu matilah politik. Lagi banyak isu dibangkitkan lagi bergemerlapanlah neon persada politik. Di mana-mana pun di dunia fana ini beginilah keadaannya. Termasuklah di Malaysia negara tercinta ini.

Di Malaysia ini politiknya melibatkan berbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Sesuai dengan kedudukannya yang mempunyai berbagai kaum, agama dan budaya.

Namun yang paling ramai sekali rasanya orang Melayulah yang bergelempangan di atas persada politik. Bermacam-macam. Sesuatu yang sangat dipedulikan orang Melayu rasanya adalah politik berbanding dengan bidang-bidang lain. Tak mengapalah.

Parti yang penyertaan orang Melayu paling banyak adalah parti UMNO dan Pas. Kedua-duanya adalah parti yang tertua di Malaysia. UMNO didakwa sebagai parti assabiah (bercorak kebangsaan), sedangkan Pas didakwa parti Islamiah (bercorak Islam).

Kedua-duanya sentiasa berentap mencari pengaruh dengan berbagai cara serta pendekatan. Antara lainnya ialah menjadikan Islam sebagai taruhannya. Lalu isu-isu yang dibangkitkan selalunya ada kaitan dengan Islam.

Terkini sekali seperti yang dihebohkan media massa ialah isu Pas meminta ahli-ahli pentingnya dalam plihan raya umum akan datang ini menangguh dulu urusan ibadah hajinya.

Kenyataan itu agaknya berikutan andaian Pas yang PRU ke 13 ini akan diadakan pada musim haji ini. Tak pasti pula atas asas apakah kemungkinan PRU itu akan diadakan pada musim haji.

Bagaimanapun berikutan kenyataan itu riuh rendahlah satu Malaysia. Ada yang pro dan kontra. Biasalah, politik katakan !

Tapi bagi sayalah yang tidak pandai berpolitik ini, saya tidak yakin PRU akan diadakan pada musim haji.

Ini kerana yang wajib (kali pertama) atau sunat (bukan kali pertama) tunai haji itu bukan orang Pas sahaja tetapi orang UMNO pun sama juga. Orang UMNO pun beragama Islam juga seperti mana orang Pas.

Dan ibadat haji itu dibuat di negara orang lain, negara Arab. Takkanlah pula kerajaan Arab nak asingkan antara orang UMNO dan orang Pas bagi menunaikan ibadat haji. Mustahil !

Satu lagi asasnya ialah takkan pula  Datuk Seri Najib atau pemimpin UMNO yang lain tak dapat fikir yang jika dibuat PRU itu di musim haji orang UMNO juga akan terlepas peluang dan BN akan hilang undi, walaupun satu undi. 

Lagi pun BN sendiri sejak 2008 hingga kini tidak dapat dibaca secara jelas dan telus akan kekuatannya sebenar. Kerana ujian sebenar belum dibuat.

Jadi saya kira hanya selepas PRU ke 13 inilah petunjuk sebenar dapat dipastikan.

Oleh itu, pada pandangan sayalah PRU ke 13 tidak akan berlaku pada musim haji ini. Wallahu alam bissawab.

Tiada ulasan: