Isnin, 30 Julai 2012

Yang tersurat dan tersirat di sebalik isu MB Kedah

Isu siapa akan menjadi MB Kedah pada penggal akan datang sekiranya BN menang pada PRU ke 13 bangkit lagi. Calon pilihan adalah Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Mengikut laporan sebuah akhbar lebih 60 peratus respoden dalam satu kajian yang dibuat oleh sebuah universiti tempatan memilih Datuk Mukhriz. Ini bermakna untuk tujuan itu beliau besar kemungkinan akan diletakkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU ke 13 akan datang. Sekarang beliau adalah ahli Parlimen Jerlun dan memagang jawatan timbalan menteri. 

Tradisi BN sejak sekian lama dalam penempatan calon-calonnya tidak akan berlaku seorang calon menduduki dua kawasan pilihan raya iaitu DUN dan Parlimen serentak. Ia berbeza dengan pembangkang. Ini bermakna sesiapa yang dipilih untuk calon DUN tidak boleh lagi menjadi calon kawasan Parlimen atau sebaliknya.

Kedua-duanya ada kelebihan tertentu. Calon Parlimen layak untuk dilantik sama ada sebagai Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen, selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Manakala calon DUN layak untuk dilantik sebagai MB atau Exco. Namun dari segi kuasa dan lain-lain `keistimewaan' ahli Parlimen mengatasi ahli DUN.  

Berbalik kepada Datuk Mukhriz. Dari segi keupayaan, kebolehan, bakat, ciri-ciri kempininan dan sebagainya memang diakui ada padanya Justeru memang wajar beliau menjadi calon pilihan ramai. 

Namun pada masa sama kita, terutama pengundi di Kedah harus melihat juga dari segi senario politik semasa di negeri itu. Misalnya antara lain , apakah kini BN benar-benar ada harapan menguasai semula negeri Kedah pada PRU ke-13 akan datang ini ?

Katakanlah BN kalah, walaupun hanya dua , tiga kerusi sahaja, sudah tentu mengikut sistem yang ada BN tidak boleh memerintah. Kuasa memerintah jatuh pada tangan pihak lain. Pada masa itu bagaimana dengan kedudukan Mukhriz sekalipun beliau menang (kerusi DUN) ?

Sekarang beliau adalah timbalan menteri bagi sebuah kementerian kanan. Jadi, implikasi ke atas masa depan kerjaya politiknya harus diambil kira. Penulis tak pastilah bagaimana penyokong dan pemimpin BN melihat isu ini. Terpulanglah kepada mereka untuk membuat pilihan dan ketentuan. Sesungguhnya warna-warna politk terlalu banyak, sukar untuk dibaca.

Ahad, 29 Julai 2012

Perlukah sebuah Majlis Ulama ?

Setiap orang ada pandangan tersendiri dan setengahnya pula ada muslihat tersendiri. Terpulanglah kepada diri masing-masing. Tapi bagi saya ia tidak perlu.

Ini kerana kita sudah banyak dengan pertubuhan atau agensi seumpama itu sama ada atas sifat NGO mahu pun kerajan sendiri . Semuanya berkaitan dengan ulama dan dakwah Islam; bukan sahaja di peringkat puast malahan di peringkat negeri juga.

Tapi keadaannya dari segi kewujudan timbul isu-isu kabur atau sebaliknya yang boleh menganggu kefahaman Islam masih berterusan juga. Isu murtad , isu gejala sosial, isu kekeliruan memahami syariat dan banyak lagi masih terus menjadi.

Apakah sebabnya terjadi demikian ?  Banyak andaian boleh dibuat . Di antaranya mungkin dari segi peadbirannya atau susun atur organisasinya yang tidak kemas, tidak releven, tidak menyeluruh dan sebagainya .

Maka sekiranya itulah faktornya , rasanya tidak perlulah kepada penubuhan sebuah lagi badan berkaitan seperti Majlis Ulama misalnya , memadai dengan apa yang sudah ada . Cuma buat ubahsuai atau tambah baiknya sahaja seperti selaraskan fungsi dan skopnya supaya tidak bertindih dan sebagainya dan pastikan yang objektif serta perananya jelas. Jangan ada elemen-elemen yang lain, selain dari masalah agama.

Khamis, 26 Julai 2012

Allah Itu Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Pada 9 Ogos ini lebih kurang 1.27 juta orang penjawat awam dan 657,000 pesara perkhidmatan awam masing-masing akan mendapat bayaran bonus dan bayaran khas dari kerajaan pusat. Sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM500 untuk yang sedang berkhidmat dan RM500 juga untuk yang telah bersara. Perbelanjaan keseluruhan dianggarkan RM2.2 billion. Bayaran itu bagi meringankan beban untuk membuat `persiapan raya' Idilfitri tahun ini.

Dengan penuh harapannya agar saya termasuk dalam golongan mereka. Besyukurlah ke hadhrat Ilahi di atas limpahan rezeki itu. Juga berterima kasih kepada kerajaan diatas pemberian itu . Nasib baik negara masih aman aktiviti ekonomi dapat berjalan dengan baik dan pendapat negara masih agak kukuh meski pun terdapat sedikit masalah ketidaktentuan di peringkat dunia.

Maka di sini sangat jelas `keamanan' dan `kerharmonian' merupakan satu rahmat dan nikmat yang cukup besar lagi bermakna kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Jadi kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, bersyukurlah kepada Allah dan berikhtiarlah serta berdoalah sentiasa agar rahmat dan nikmat itu tidak ditarik balik.

Piliharalah keamanan yang sedang dinikmati dan jagalah baik-baik keharmonian yang ada , mudah-mudahan Allah akan tambah lagi nikmat-Nya dan hendaknya kita bukan dari golongan yang kufur nikmat dan dimurkai Allah Azzawajalla.

Rabu, 25 Julai 2012

Tazkirah Ramadan - Ada Tiga Jenis Ulama


MAFHUM HADIS

Daripada Anas radhiallahu `anhu bahawasanya Nabi Solallahu `alaihi wassalam bersabda , " Ulama itu ada tiga jenis. Pertama yang alim yang hidup dengan ilmunya (yakni yang beramal dengan ilmunya) dan masyarakat juga `hidup' dengan ilmunya. Kedua, orang yang alim yang mana masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak beramal dengan ilmunya) Ketiga, orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkannya) tetapi orang lain tidak dapat mengambil manfaat daripada ilmunya")


Keterangan

Orang alim ada pelbagai. Misalnya ada yang berperanan untuk diri dan masyarakatnya; sementara masyarakat sendiri sangat merasakan peranannya itu dan dia juga mempunyai kepakaran serta kemahiran di dalam memberikan layanan kepada semua lapisan masyarakat. Maka keberadaannya itu di tengah-tengah masyarakat laksana lampu yang menerangi segala kawasan dan ruang di sekelilingnya.

Ada pula orang alim yang mampu berperanan kepada masyarakatnya dari segi di mana orang lain dapat mengambil manfaat daripada ilmunya serta beramal dengannya, namun dia sendiri mengabaikannya seolah-olah seperti sebatang lilin yang menerangi  orang lain di sekelilingnya tetapi dirinya sendiri terbakar.

Sementara itu ada pula orang alim yang dia sendiri dapat mengambil manfaat daripada ilmunya tetapi tidak dapat dimanfaatkan orang lain kerana tidak mengajarkannya atau orang lain sukar  memahami isi penyampaianya.

Namun, ulama itu tetap berperanan kepada diri, masyarakat dan agamanya.

Selasa, 24 Julai 2012

Perlukah SPA ambil semula pekerja yang berhenti ?

Dilaporkan SPA akan mengambil penjawat awam yang telah berhenti berkhidmat semula dengan sektor awam melalui beberapa cara termasuk pengisian borang permohonan dan sebagainya. Manakala CUEPACS yang mewakili 1.4 juta penjawat awam yang masih bekerja menyahut cadangan itu dengan `bersyarat'.

Apakah langkah itu mendatangkan kebaikan kepada semua, khususnya yang belum ada kerja ?

Bagi penulis, penulis tidak bersetuju dengan cadangan itu. Dalam apa keadaan pun jika seseorang penjawat awam itu berhenti atau meninggalkannya biarlah kekosongan itu diisi dengan orang lain, misalnya yang masih `fresh'.

Ingatlah semakin hari semakin bertambah pencari kerja kerana mereka ada kelulusan serta pengalaman tersendiri mengikut peringkat pengajian mereka. Hargailah mereka juga.

Tidak perlu dikhuatiri tentang keupayaan , bolehan dan pengalaman. Semuanya itu boleh diperolehi menerusi latihan dan kursus yang boleh diadakan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian. Melainkan penjawat itu terpaksa berhenti dengan sebab tertentu, misalnya dikaitkan dengan rasuah tetapi kemudiannya mahkamah membebeas dan melepaskannya dan sebagainya.

Pengalaman boleh dimilikki menerusi minat , prihatin, ketekunan ,  kejujuran , kreatif, kesediaan menerima  arahan dan tanggjungjawa serta kesabaran menghadapi cabaran dan ujian di samping berfikiran positif terhadap kerjaya dan tugas. Tanpa elemen-elemen  tersebut semasa bekerja pengalaman tidak akan datang dengan mudah.

Oleh itu, nasihat penulis kepada mereka yang baru mendapat jawatan, buatlah dengan penuh jujur dan kesungguhan serta bersabar dengan cabaran dan ujian, insya Allah pengalaman akan datang dan bahkan kematangan berfikir akan meningkat dari semasa ke semasa.

Ingat Allah, ingat ibu bapa dan ingat keluarga insya Allah akan berjaya.

Jumaat, 13 Julai 2012

Tazkirah pra Ramadan Setiap hari sehingga tiba Ramadan

Tazkirah pra Ramadhan telah dimulai di masjid Attaqwa Taman Bertam Indah, Kepala Batas , Pulau Pinang pada 11 Julai lalu selepas solat Asar setiap hari hingga sehari sebelum 1 Ramadhan. Maknanya sesiapa yang hadir berjemaah solat Asar di sana akan mendapat peluang duduk bersama dalam majlis ilmu ini.

Penceramahnya ialah seorang ustaz serta salah seorang ahli jawatankuasa qariah masjid berkenaan yang juga seorang peguam yang membuka firma sendiri di sekitar Kepala Batas. Tajuk ceramah berasaskan kitab `Buyutuna Fi Ramadhan.

Setakat ini peribincangannya mengenai bagaimana membuat persediaan jasmani , mental dan rohani dalam menyambut Ramdhan demi mengharapkan keredaan Allah Subhanahu Wataala.

Terima kasih kepada pengurusan qariah masjid kerana mengambil inisiatif mengadakan program ini. Banyak faedah boleh diperolehi daripada program ini.  Selain dari dapat menambah pengetahuan mengenai cara menunaikan fardu puasa ia juga mengingatkan diri supaya tidak lalai dan tergelincir dari landasan dan objektif sebenar kefarduan berpuasa.  

Selasa, 10 Julai 2012

Selamat berpuasa, semoga diampuni segala dosa lalu

Tidak lama lagi akan tibalah bulan Ramadhan di mana semua umat Islam tanpa mengira lelaki dan perempuan diwajibkan berpuasa sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan syarak.

Berpuasa maknanya menahan diri daripada makan dan minum serta bersetubuh dengan pasangan antara suami isteri pada siang hari. Ini pada level biasalah.

Untuk level yang lebih atas sikit ditambah lagi sikit elemennya iaitu mengawal anggota lahiriah dan panca indera dari melakukan perbuatan keji dan maksiat .

Dan peringkat lebih atas lagi ialah menahan hati dan pemikiran daripada melakukan perbuatan yang sama seperti berhasad dengki atau memikirkan keburukan orang lain dan seumpamanya. Sebaliknya hendaklah menggantikan semua itu dengan berzikir kepada Allah SWT dan berselawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW..

Setakat mana termampu lakukanlah semuanya itu mudah-mudahan mendapat puasa mabrur yang diberikan ganjaran pahala berganda-ganda daripada Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta dan Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Satu perkara lagi sedaya mungkin elakkan dari berlaku pembaziran terutama ketika menyediakan juadah berbuka. Elakkan daripada terlalu membuat atau membelinya di pasar Ramadhan dan sebagainya dengan kuntiti yang terlalu banyak hingga tidak dapat dihabiskan dan terpaksa dibuang ke tong sampah setiap hari.

Juga cuba kita sama-sama elakkan lidah kita daripada berbicara sesuatu yang tidak dibenarkan syarak  Selain itu jika mampu kawalah mata, dan telinga dari melihat dan mendengar sesuatu yang dilarang syarak. Lakukanlah semampu mungkin, insya Allah mudah-mudahan kita termasuk di dalam golongan orang-orang yang diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu kerana keikhlasan dan keimanannya berpuasa , seperti yang disebut oleh Rasul SAW dalam sebuh hadis sahih baginda.

Oleh itu, penulis ingin di sini  mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca ruangan ini dan berharap agar dipanjangkan kepada mereka yang belum pernah mengunjungi halaman blog ini untuk  membuat kunjungan. Yang baik dari Allah SWT dan yang tidak baik dari kelemahan diri saya.