Isnin, 30 Julai 2012

Yang tersurat dan tersirat di sebalik isu MB Kedah

Isu siapa akan menjadi MB Kedah pada penggal akan datang sekiranya BN menang pada PRU ke 13 bangkit lagi. Calon pilihan adalah Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Mengikut laporan sebuah akhbar lebih 60 peratus respoden dalam satu kajian yang dibuat oleh sebuah universiti tempatan memilih Datuk Mukhriz. Ini bermakna untuk tujuan itu beliau besar kemungkinan akan diletakkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU ke 13 akan datang. Sekarang beliau adalah ahli Parlimen Jerlun dan memagang jawatan timbalan menteri. 

Tradisi BN sejak sekian lama dalam penempatan calon-calonnya tidak akan berlaku seorang calon menduduki dua kawasan pilihan raya iaitu DUN dan Parlimen serentak. Ia berbeza dengan pembangkang. Ini bermakna sesiapa yang dipilih untuk calon DUN tidak boleh lagi menjadi calon kawasan Parlimen atau sebaliknya.

Kedua-duanya ada kelebihan tertentu. Calon Parlimen layak untuk dilantik sama ada sebagai Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen, selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Manakala calon DUN layak untuk dilantik sebagai MB atau Exco. Namun dari segi kuasa dan lain-lain `keistimewaan' ahli Parlimen mengatasi ahli DUN.  

Berbalik kepada Datuk Mukhriz. Dari segi keupayaan, kebolehan, bakat, ciri-ciri kempininan dan sebagainya memang diakui ada padanya Justeru memang wajar beliau menjadi calon pilihan ramai. 

Namun pada masa sama kita, terutama pengundi di Kedah harus melihat juga dari segi senario politik semasa di negeri itu. Misalnya antara lain , apakah kini BN benar-benar ada harapan menguasai semula negeri Kedah pada PRU ke-13 akan datang ini ?

Katakanlah BN kalah, walaupun hanya dua , tiga kerusi sahaja, sudah tentu mengikut sistem yang ada BN tidak boleh memerintah. Kuasa memerintah jatuh pada tangan pihak lain. Pada masa itu bagaimana dengan kedudukan Mukhriz sekalipun beliau menang (kerusi DUN) ?

Sekarang beliau adalah timbalan menteri bagi sebuah kementerian kanan. Jadi, implikasi ke atas masa depan kerjaya politiknya harus diambil kira. Penulis tak pastilah bagaimana penyokong dan pemimpin BN melihat isu ini. Terpulanglah kepada mereka untuk membuat pilihan dan ketentuan. Sesungguhnya warna-warna politk terlalu banyak, sukar untuk dibaca.

Tiada ulasan: