Rabu, 22 Ogos 2012

Konsep Rumah Terbuka Sentiasa Wujud di Kampung

Pada raya Aidilfitri tahun ini saya bersama keluarga pulang ke kampung untuk menziarahi kubur ahli-ahli keluarga yang telah meninggal. Di samping itu mengambil kesempatan menziarahi rumah-rumah sanak saudara yang masih hidup.

Oleh kerana merteka tinggal di kampung-kampung tradisonal bentuk rumah mereka tiada berpagar. Lebih-lebih lagi ada pengawal. Bermakna rumah - rumah mereka sentiasa terbuka. Bukan macam rumah-rumah di bandar-bandar dan taman-taman perumahan atau rumah orang-orang kenamaan .

Rumah-rumah di bandar seratus peratus dilengkapi dengan pagar. Ada yang pagarnya dengan besi besar, tembok dan sebagainya. Pintu pagarnya dilengkapi dengan kunci. Ada yang kuci besar dan elektronik. Betapa privasi dan terbatasnya mereka.

Maka sebab itu bila nak sambut hari kebesaran macam hari raya untuk tujuan kunjung mengunjung dan bermaaf maafan dan lain-lain lagi aktiviti sambutan Hari Raya mereka kena buat "Rumah Terbuka". Sebab rumah mereka ada macam-macam sekatan untuk dikunjungi meskipun keluarga terdekat. Melainkan penyamun dan perompak sahaja yang boleh memasuki rumah mereka dengan sewenangnya.

Kesimpulannya di sini konsep rumah terbuka yang menjadi amalan terkini sesetengah pihak itu tidak perlu kepada orang-orang kampung dan luar bandar kerana mereka sentiasa mengamal kosep `rumah terbuka', tanpa menunggu hari raya. Begitulah betapa besarnya hati dan mudahnya kehidupan mereka.

Dan konsep `rumah terbuka' itu hanya layak untuk orang-orang tertentu sahaja seperti orang-orang kenamaan atau mereka yang gaya hidupnya seperti orang-orang kenamaan atau mereka yang tinggal di kawasan taman-taman perumahan sahaja seperti mana yang saya diami sekarang.

Khamis, 16 Ogos 2012

Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin

Selamat menyambut Aidlfitri, maaf zahir batin.

Jangan lupa solat sunat Aidilfitri di mana sahaja ada peluang. Ia hanya sekali dalam tempoh 365 hari. Lagi pun ia `sunat yang sangat dituntut' atau sunat muakkad.

Juga jangan lupa ziarah keluarga terdekat, jiran tetangga, saudara mara, sahabat handai, dan mana-mana kaum muslimin/muslimat sekiranya ada kesempatan. Bersedekah sekadar mampu, bermusafahah serta bermaafan antara satu sama lain. Inilah syariat Islam cara sambut hari raya.

Apa dimaksudkan dengan `syariat'? Ia bermakud `garis panduan ' atau peraturan untuk dipatuhi.oleh semua umat Islam, melainkan ada keuzuran atua `excuse' yang dibenarkan syarak.

Perbuatan itu dijanjikan ganjarannya pada hari akhirat kelak iaitu suatu alam kehidupan lain selepas berlakunya kejadian `qiamat' pada alam dunia ini yang mana pasti akan berlaku padabila-bila yang dikehendaki Allah SWT..

Berbalik kepada sambutan raya ni, kepada siapa jua yang nak balik kampung diucapkan selamat balik kampung dan selamat dalam perjalanan.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Rebutlah Lailatul Qadar

Kita sudahpun memasuki fasa ketiga menunaikan ibadat puasa pada tahun ini iaitu sepuluh terakhir bulan Ramadan.

Pada fasa terakhir ini kita digalakkan memperbanyakkan beramal ibadat terutama di waktu malam seperti beriktikaf, solat malam , membaca al-Quran, bertasbih dan sebagainya.

Ini kerana mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW, baginda memberi tumpuan yang lebih kepada aktiviti berkenaan pada sepuluh terakhir bulan Ramadan terutama dari segi solat malam dan iktikaf. Kerana pada tempoh tersebut diturunkan malam yang paling barakah iaitu `lailatul qadar’.

Pelbagai definisi diberikan ulama mengenai malam lailatul qadar itu. Dalam kitab tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada Pengertian al-Quran karangan Abdullah bin Muhammad Basimeh misalnya menyebut malam lailatul qadar itu ialah " malam kemuliaan dan kebesaran".

Dalam surah al-Qadar ayat 1 - 5, Allah SWT berfirman yang bermaksud," Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu (wahai Muhammad) apakah malam kemulaain itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam kemuliaan itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh dengan kebahagiaan sampai terbit fajar".

Berdasarkan kepada ayat-ayat tersebut di atas kita dapati ada tiga kelebihan yang jelas yang ada pada `malam lailatulqadar' itu, iaitu:.

* Amal solih dan ibadat yang dilakukan pada malam berkenaan lebih baik dari seribu bulan dari segi ganjarannya atau lebih kurang 33,000 hari atau bersamaan 83 tahun empat bulan.

*. Para Malaikat dan Jibril turun ke bumi untuk mengucap dan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada golongan beriman dan beramal solih.

*. Malam itu dipenuhi dengan kedamaian serta kebajikan sehingga terbit fajar atau masuknya waktu solat fardu Subuh keesokan harinya.

Selain itu, pada malam lailatulqadar itu juga Allah SWT menurunkan para malaikat untuk bersama-sama mengerjakan amal ibadat dengan umat Islam di dunia ini di samping mendoakan mereka kesejahteraan .

Orang-orang beriman yang mengerjakan amal ibadat dengan ikhlas kepada Allah SWT pada malam tersebut bukan sahaja dilimpahi rahmat kedamaian dan kesejahteraan tetapi juga diampuni segala dosa mereka.

Sesetengah ulama berpendapat pada malam tersebut alam dunia ini seolah-olah menjadi sempit dek karana dilimpahi dengan para malaikat yang diturunkan bagi melaksanakan segala urusan , dengan keizinan Tuhan.

Namun para ulama tidak mempastikan tarikh serta waktunya yang tepat bila malam lailatul qadar itu diturunkan ke alam dunia ini . .

Kebanyakan ulama berpendapat malam yang penuh dengan keberkatan itu boleh berlaku pada malam bilangan `ganjil' sepuluh terakhir bulan Ramadan. Iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Imam As-Syafeii r.a berpendapat ia terjadi pada malam 21 dan 23 Ramadan. Ibnu Abbas pula berpendapat ia berlaku pada malam ke 27 Ramadan.

Bagaimanapun mengikut sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad r.a. bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda maksudnya," Malam lailatulqadar itu ada pada sepuluh terakhir Ramadan iaitu pada malam 21, atau malam 23, atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29 atau malam yang akhir dari Ramadan. Sesiapa yang bangun (mendirikan) ibadat pada tarikh itu kerana mengharapkan keredaan Allah dan pahalanya , diampunkan Allah akan dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang kemudiaan".

Ini bermakna bagi memperoleh malam yang penuh berkat itu kita perlu melipatgandakan amalan dan ibadat seperti yang diajarkan Nabi SAW seperti memperbanyakkan solat malam, berzikir, membaca al-Quran, beriktikaf dan sebagainya.

Ketika Saiditina Aisyah Radiallahu anha bertanya Rasulullah SAW "apakah amalan yang harus ku lakukan pada malam itu". Baginda menjawab ucapkanlah :" Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka mengampun, ampunilah aku".

Oleh itu, sama-samalah kita berlumba-lumba kea rah mendapatkannya dan jadikan malam lailatul qadar itu sebagai ruang dan peluang `cepu emas' bagi meraih keredaan Allah SWT dan keampunan Nya sebanyak mungkin serta ganjaran pahala beribu kali ganda yang mana bersamaan tempoh seribu bulan beribadat.