Isnin, 22 April 2013

Hidup di dunia hanya mainan.........

Di samping kita sedang asyik memerhatikan kempen pilihan raya umum yang ke 13 yang sedang berlaku di negara sekarang ini yang penuh warna warni dan pelbagai tingkah laku itu, marilah sama-sama kita taddabur maksud ayat-ayat (al-Quran) dari surah al_Hadid :  

Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang maksudnya:

"Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan di dunia hanya mainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu, berlumba-lumba banyakkan harta dan anak, ibarat hujan yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan (yang tumbuhannya itu) menakjubkan para petani. Kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning, kemudian hancur. Dan di akhirat azab yang keras, dan keampunan dari Allah (serta) keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu (merupakan) kesenangan bagi orang-orang terpedaya" - ayat 20.



" Berlumba-lumbalah kamu mendapatkan keampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, (syurga itu) disediakan untuk orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Itulah kurnia Allah yang dianugerahkanNya kepada sesiapa yang dikehendaki Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." - ayat 21.



" Bencana yang terjadi di bumi atau pada diri kamu sendiri, telah tertulis di dalam (ibu) kitab sebelumKami melaksanakannya. Sesungguhnya Allah melakukan yang demikian".  - ayat 22.


Mudah-mudahan kita mendapat taufik & hidayah Allah serta limpahan rahmat-Nya..

Wallahu alam.

Rabu, 10 April 2013

Pilih Parti atau Calon ?

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Malaysia sebuah negara yang mempunyai rakyat yang merangkumi pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama dan ideologi politik akan berhadapan dengan satu peristiwa besar iaitu Pilihan Raya Umum kali yang ke 13.

Terdapat dua jenis pilihan yang diamalkan di Malaysia sejak merdeka pada tahun 1957 hingga ke hari ini  iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK). Dari segi proses , sifat dan kendaliannya adalah sama , akan tetapi dari segi kesannya terhadap negara dan kenegaraan adalah berbeza.


PRU memberi kesan kepada perubahan pemerintahan, dasar-dasar awam, kewangan, ekonomi, sosial, kebudayaan, hala tuju, keselamatan , perundangan dan lain-lain. Pada kali ini sebanyak 222 kerusi Parlimen (Dewan Rakyat) dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingan. Semua parti politik yang berdaftar dan calon persendirian (Bebas) dibolehkan untuk bertanding di semua kerusi yang diperuntukkan itu.

Mana-mana parti politik yang memperoleh lebih separuh daripada jumlah kerusi yang diperuntukkan maka ianya layak untuk membentuk kerajaan kerana ia dianggap menang; sama ada `menang besar ' atau `menang tipis'. Parti berkenaan kemudiannya akan membentuk sebuah Kabinet di peringkat pusat (parlimen) dan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) di peringkat negeri bagi menjalankan pemerintahan.

Ini boleh terjadi sama kerajaan yang memerintah sebelum pilihan raya umum itu kekal memerintah atau  sebaliknya sekiranya ia kalah . Jika ia menang mungkin tidak banyak berlaku perbuahan di dalam corak pemerintahannya kerana ia hanya meneruskan sahaja atau menambahbaikkan lagi kepada agenda dan program sedia ada. Tetapi jika sebaliknya besar kemungkinan akan berlaku perubahan, terutama dari segi dasar.

Ini kerana setiap parti mempunyai agenda, hala tuju, dasar dan matlamatnya tersendiri berdasarkan idelogi masing-masing. Maka perbuhan dari segi perkara-perkara tersebut akan berlaku sekiranya berlakunya perubahan dalam  keputusan pilihan raya umum. Ini adalah prinsip dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Ia amat berbeza dengan PRK. Ianya tidak membawa apa-apa kesan, selain dari perubahan tempat duduk di dalam dewan. Ini bermakna sekiranya kerusi yang dipertandingkan pada PRK memihak kepada kerajaan semasa ketika itu maka tempat duduknya kekal di situ akan tetapi jika dimenangi oleh parti `pembangkang' ia akan berubah di ruang pembangkang dan sedikit kesan kepada jumlah kerusi mengikut parti di dewan-dewan berkenaan. Itu sahaja. Melainkan apabila kemenangan terlalu tipis oleh pemerintah.

Oleh itu apabila ada pihak mengatakan dalam pilihan raya kita kena pilih parti bukan calon dan ada yang mengatakan kita kena pilih calon bukan parti; maka jawapannya bahawa kedua-duanya adalah betul namun ia bergantung kepada jenis pilihan raya yang diadakan itu.

Maknanya sekiranya pilihan raya itu merupakan Pilihan Raya Umum maka sudah tentulah memilih parti itu lebih penting daripada memilih calon, manakala sekiranya pilihan raya itu PRK terpulang kepada `selera' serta mood pengundi ketika itu.

 Keadaan memilih parti itu lebih penting lagi sekiranya terdapat suasana negara berada dalam keadaan yang tidak menentu dalam semua perkara terutama yang berkaitan dengan keselamatan, agama, sosial dan sebagainya. Oleh itu, terpulanglah di atas kebijaksanaan pengundi untuk membuat keputusan untuk memilih apa dan siapa.

Proses serta perjalanan pilihan raya ini diuruskan serta dikendalikan oleh sebuah suruhanjaya yang dikenali i sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)


Selamat mengundi kepada semua yang layak mengundi.

Wallahu  a'lam.



Khamis, 7 Februari 2013

Sambal belacan menu utama masakan Melayu

Lama benar saya tidak menulis kerana kesihatan tidak mengizinkan. Pada kali ini saya ingin menulis mengenai satu menu dalam hidangan makanan orang Melayu tradisional yang sangat popular pada suatu ketika dahulu, namun kini kemasyhurannya dilihat semakin pupus di zaman moden ini.

Menu yang saya maksudkan itu ialah SAMBAL BELACAN. Saya dapati ramai generasi masa kini tidak kenal sambal belacan, malah ada yang tidak menyukaiinya kerana didakwa selera tidak boleh terima. Termasuklah sebahagian ahli keluarga saya. Trend ini jika tidak dikawal saya yakin dalam masa tidak sampai dua dekad lagi ia akan hilang dalam kamus budaya Melayu.

Apakah itu sambal belacan ? Ia adalah adunan daripada secebis belacan , sedikit garam (jika Perlu) dan beberapa biji cabai/cili , sama ada cili merah atau cili padi yang ditumbuk atau dimesinkan. Ini adalah ramuan asas. Namun untuk meningkatkan rasa dan auranya ada orang yang tambahkan sedikit serbuk perasa, air/buah limau nipis , cuka padi dan seumpama.

Sementara belacan itu sendiri adalah terbentuk daripada hasil udang yang telah dikeringkan, dijemur dan kemudian ditumbuk atau dimesinkan sehingga menjadi mampat. Belacan yang terdapat dipasaran sekarang berbentuk bulat atau empat segi. Oleh kerana ia diproses daripada sejenis makanan laut tentulah ada baik dan buruknya dari segi kesihatan. Namun ia tetap ada kebaikannya.

Bagi sesetengah orang Melayu sambal belacan boleh menambahkan selera makan. Lebih mengenakkan lagi apabila dimakan bersama ulam yang terdiri daripada sama ada pucuk-pucuk kayu yang rasanya kelat seperti pucuk janggus, samak, putat , jantung pisang dan lain-lain. Begitu juga jika dicicah dengan buah petai, jering, genuak, timun , terung dan sebagainya.

Di sesetengah kawasan di Malaysia sambal belacan dicampur dengan isi buah durian yang sudah diproses dan dipanggil tempoyak, atau budu yang diproses daripada ikan bilis dan dipanggil budu bilis, atau udang yang diproses cara tertentu dan dipanggil cencaluk. Semuanya itu menjadi bahan nilai tambah kepada aura dan rasa sambal belacan.

Demikianlah serba ringkas cerita mengenai sambal belacan iaitu sejenis menu dalam hidangan makanan masyarakat Melayu , khususnya masyarakat Melayu tradisional yang saya rasa tidak ada dalam masyarakat lain. Kedudukannya sangat bermakna dalam hidangan makanan Melayu sejak zaman berzaman. Setiap rumah mesti ada menu sambal belacan kerana ia adalah menu utama atau menu tetap.

Kini rasanya tidak lagi semua rumah menyediakan sambal belacan sebagai menu tetap dan utama . Bagaimanapun terdapat sesetengah gerai makan dan restoran masih ada menyediakan sambal belacan utnuk pelanggan tertentu mereka Namun secara keseluruhannya sambutannya oleh sebahagian masyarakat Melayu tidak begitu menggalakkan, mungkin tidak secocok dengan selera mereka.

Maka apakah perlu ia dipertahankan sebagai salah satu warisan kebudayaan Melayu dari segi penyediaan makanan ?