Rabu, 10 April 2013

Pilih Parti atau Calon ?

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Malaysia sebuah negara yang mempunyai rakyat yang merangkumi pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama dan ideologi politik akan berhadapan dengan satu peristiwa besar iaitu Pilihan Raya Umum kali yang ke 13.

Terdapat dua jenis pilihan yang diamalkan di Malaysia sejak merdeka pada tahun 1957 hingga ke hari ini  iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK). Dari segi proses , sifat dan kendaliannya adalah sama , akan tetapi dari segi kesannya terhadap negara dan kenegaraan adalah berbeza.


PRU memberi kesan kepada perubahan pemerintahan, dasar-dasar awam, kewangan, ekonomi, sosial, kebudayaan, hala tuju, keselamatan , perundangan dan lain-lain. Pada kali ini sebanyak 222 kerusi Parlimen (Dewan Rakyat) dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingan. Semua parti politik yang berdaftar dan calon persendirian (Bebas) dibolehkan untuk bertanding di semua kerusi yang diperuntukkan itu.

Mana-mana parti politik yang memperoleh lebih separuh daripada jumlah kerusi yang diperuntukkan maka ianya layak untuk membentuk kerajaan kerana ia dianggap menang; sama ada `menang besar ' atau `menang tipis'. Parti berkenaan kemudiannya akan membentuk sebuah Kabinet di peringkat pusat (parlimen) dan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) di peringkat negeri bagi menjalankan pemerintahan.

Ini boleh terjadi sama kerajaan yang memerintah sebelum pilihan raya umum itu kekal memerintah atau  sebaliknya sekiranya ia kalah . Jika ia menang mungkin tidak banyak berlaku perbuahan di dalam corak pemerintahannya kerana ia hanya meneruskan sahaja atau menambahbaikkan lagi kepada agenda dan program sedia ada. Tetapi jika sebaliknya besar kemungkinan akan berlaku perubahan, terutama dari segi dasar.

Ini kerana setiap parti mempunyai agenda, hala tuju, dasar dan matlamatnya tersendiri berdasarkan idelogi masing-masing. Maka perbuhan dari segi perkara-perkara tersebut akan berlaku sekiranya berlakunya perubahan dalam  keputusan pilihan raya umum. Ini adalah prinsip dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Ia amat berbeza dengan PRK. Ianya tidak membawa apa-apa kesan, selain dari perubahan tempat duduk di dalam dewan. Ini bermakna sekiranya kerusi yang dipertandingkan pada PRK memihak kepada kerajaan semasa ketika itu maka tempat duduknya kekal di situ akan tetapi jika dimenangi oleh parti `pembangkang' ia akan berubah di ruang pembangkang dan sedikit kesan kepada jumlah kerusi mengikut parti di dewan-dewan berkenaan. Itu sahaja. Melainkan apabila kemenangan terlalu tipis oleh pemerintah.

Oleh itu apabila ada pihak mengatakan dalam pilihan raya kita kena pilih parti bukan calon dan ada yang mengatakan kita kena pilih calon bukan parti; maka jawapannya bahawa kedua-duanya adalah betul namun ia bergantung kepada jenis pilihan raya yang diadakan itu.

Maknanya sekiranya pilihan raya itu merupakan Pilihan Raya Umum maka sudah tentulah memilih parti itu lebih penting daripada memilih calon, manakala sekiranya pilihan raya itu PRK terpulang kepada `selera' serta mood pengundi ketika itu.

 Keadaan memilih parti itu lebih penting lagi sekiranya terdapat suasana negara berada dalam keadaan yang tidak menentu dalam semua perkara terutama yang berkaitan dengan keselamatan, agama, sosial dan sebagainya. Oleh itu, terpulanglah di atas kebijaksanaan pengundi untuk membuat keputusan untuk memilih apa dan siapa.

Proses serta perjalanan pilihan raya ini diuruskan serta dikendalikan oleh sebuah suruhanjaya yang dikenali i sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)


Selamat mengundi kepada semua yang layak mengundi.

Wallahu  a'lam.



Tiada ulasan: