Khamis, 18 September 2014

Kalau Haji Mabrur Menjadi Idaman

Sekarang adalah musim haji. Atau disebut juga bulan-bulan haji. Bulan-bulan haji adalah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Tempat mengerja haji hanya di tanah suci Makkah al- Mukarramah di mana terletaknya Kaabah yang menjadi kiblat untuk solat umat Islam.  Ibadat haji haji adalah salah satu Rukun Islam yang lima selain solat fardu lima kali sehari, puasa, zakat dan mungucap dua kalimah syahadah iaitu Asyhadu an lla ilaha Illallahu, Wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah - Aku naik saksi bahawasanya tidak ada Tuhan lain melainkan Allah dan Aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah..

Oleh kerana tempat mengerjakan ibadah haji ini terletak jauh bagi mereka yang tidak tinggal dalam Semenanjung Tanah Arab maka ia memerlukan perbekalan dan perbelanjaan. Sebab itu ibadat haji menjadi wajib kepada seseorang ummat Islam yang mukallaf apabila ia ada `kemampuan' untuk pergi dan balik dari tempat tinggalnya atau negaranya dan " Sebaik-baik bekalan ialah takwa" (sila rujuk al-Quran ayat 197 surah al-Baqarah).

Namun waktu-waktu terakhir ini umat Islam, terutama di Malaysia mengerja ibadat itu dengan mengeluarkan perbelanjaan yang tidak sama mengikut kemampuan kewangan masing-masing dan mengikut kategori pemergian yang ditetapkan pihak berkuasa yang menguruskan haji seperti Muassasah dan Pakej.

Kategori Muassasah diuruskan oleh kerajaan dengan kadar belanja yang ditetapkan serta disubsidikan. Setakat ini di sekitar RM 10,000 bagi setiap orang . Pakej pula diuruskan oleh pihak swasta yang kadar (harganya) melebih kadara `kerajaan' malahan mencecah sehingga ratusan ribu ringgit sepert yang dilaporkan media baru-baru ini. Bagaimanapun harus diingat bahawa ia  masih terikat dengan konsep bekalan yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran tersebut.

Sebagaimana ibadah-ibadah lain kita harus berhati-hati dalam mengerjakan ibadah haji itu agar tidak bercampur aduk dengan sifat-sifat yang dilarang oleh syarak seperti ujub, takkabur , riak dan sebagainya. Malah dalam ibadah haji Allah SWT menyebut secara jelas akan perbuatan , perkataan atau kelakuan yang boleh merosakkan ibdat haji seperti bercumbuan/bersetubuh , fasik (muksiat termasuk berburu ketika mengerjakan haji) dan pertengkaran (sila rujuk al-Quran ayat 197 surah al-Baqarah)

Manakala ganjaran untuk ibadat haji pula seperti yang terdapat pada kitab-kita fikah islami terbahagi kepada haji mabrur (terbaik), makbul (diterima) dan mardud (ditolak) . Harapan kita ialah kita akan mendapat haji yang mabrur. Justeru kita mestilah berhati-hati bukan sehaja segala perkara yang berkaitan dengan segala rukunnya, perkara-perkara  wajibnya dan  perkara-perkara  sunatnya tetapi juga perkara-perkara lain termasuk menjaga tuntutan nafsu dan lintasan hati agar tidak tersasar. Wallahu a'lam.