Rabu, 14 Februari 2018

PRU 14 - SELAMAT MENGUNDI

Tidak lama lagi (sekiranya diisytiharkan) akan berlangsung pilihan raya umum (PRU) ke 14 di negara ini. PRU di Malaysia akan berlangsung dalam tempoh tidak melebihi lima tahun daripada tarikh PRU sebelumnya sejak merdeka pada tahun 1957. PRU pertama selepas merdeka ialah pada tahun 1959.

Dalam erti kata lain PRU ke 14 akan datang ini menunjukkan sudah lebih 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan dan sistem pemerintahannya berasaskan sistem demokrasi berparlimen. Sehingga ini jumlah kerusi parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara adalah 222.

Pada PRU bukan sahaja dipertandingkan kerusi-kerusi parlimen tetapi kerusi-kerusi dewan undangan negeri (DUN) untuk memilih wakil rakyat peringkat negeri dan juga untuk memilih kerajaan Negeri .

Terdapat lebih 300 kerusi diperuntukkan kepada semua negeri iaitu 11 negeri-negeri di Semenanjung dan dua lagi Sabah dan Sarawak. Jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada negeri-negeri , baik untuk DUN mahupun Parliamen tidak sama antara satu dengan lain.

Jenis pilihan raya yang pernah diadakan di negara ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu pilihan raya umum (PRU) pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN).

Faktor yang membawa kepada PRU, PRK dan PRN tidak sama antara satu dengan lain. PRU berlaku setelah dewan parlimen dibubarkan ataupun terbubar oleh sebab tamat tempoh. Begitu juga dengan PRN (lazimnya bagi Sabah & Sarawak).

Negeri-negeri lain tiada sistem PRN melainkan bila berlaku keadaan di mana membolehkan darurat diisytiharkan dan PRN diadakan. Sebaliknya pula PRK berlaku apabila seseorang wakil rakyat meninggal dunia atau letak jawatan atau disabitkan hukuman tertentu oleh mahkamah.  Juga bergantung kepada beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan.

Semua jenis pilihan raya diuruskan dan dikendalikan oleh sebuah suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR ). Antaranya ialah mengurus pendaftaran pemilih atau pengundi. Hanya pengundi yang berdaftar dengan SPR sahaja yang layak mengundi pada mana-mana pilihan raya diadakan dengan syarat-syarat tertentu. Antaranya mestilah berumur melebihi 21 tahun.

Menurut laporan media baru-baru ini yang memetik sumber SPR , jumlah keseluruhan pengundi sehingga kini ialah 14,806,185. Sekiranya PRU 14 diadakan beberapa bulan terdekat ini hanya mereka yang dikira sah untuk mengundi. Jumlah penduduk Malaysia ketika ini difahamkan sekitar 30 juta orang.

Manakala mereka yang sudah layak sebagai pengundi tetapi masih belum berdaftar sebagai pengundi sah dilaporkan sebanyak 3.6 juta lagi. Mereka ini dikatakan golongan muda yang berumur 21 tahun ke atas.

Menurut laporan media juga yang memetik sumber SPR setiap pendaftaran akan diwartakan mengikut suku tahun pertama, kedua, ketiga dan ke empat iaitu  suku tahun pertama ( Januari - Mac ), suku tahun kedua (April - Jun ) , suku tahun ketiga ( Julai - September) dan suku tahun ke empat ( Oktober - Disember ).

Jadi demi mendapatkan hak kita sebagai rakyat dalam memilih kerajaan menerusi cara yang sah dari segi undang-undang dan Perlembagaan maka jadilah pengundi yang sah dan keluarlah mengundi semasa berlangsungnya PRU.

SELAMAT MENGUNDI


Tiada ulasan:

FENOMINA "JANJI PILIHAN RAYA"

Kempen pilihan raya umum (PRU) ke 14 sedang berjalan ketika ini. Ia bermula pada 28 April lalu dan akan berakhir pada jam 12.00 malam 8 Mei ...